LONDON: Arsenal kini menjadikan penyerang sayap Paris Saint-Germain (PSG), Bradley Barcola sebagai sasaran baharu selepas gagal mendapatkan bintang Real Madrid, Vinicius Junior.
Skuad kendalian Mikel Arteta sebelum ini merancang perpindahan besar untuk mendapatkan pemain sayap Brazil itu, namun hasrat berkenaan tidak kesampaian selepas Vinicius menandatangani kontrak baharu selama enam tahun bersama Real Madrid.
Pengurusan Arsenal sebelum ini komited untuk melengkapkan perpindahan bernilai tinggi bagi mendapatkan Vinicius yang hanya berbaki setahun dalam kontrak terdahulu.
Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu memilih untuk terus kekal di Santiago Bernabeu selepas bersetuju dengan kontrak baharu bernilai 480,000 pound (RM2.6 juta) seminggu, sekali gus menamatkan usaha The Gunners.
Arsenal masih berusaha mendapatkan pemain sayap kiri baharu, terutama selepas melepaskan Leandro Trossard menyertai Besiktas.
Menurut laporan Independent, Barcola kini menjadi pilihan menarik buat Arsenal, namun mereka perlu mengejar Liverpool yang sudah mengadakan rundingan berkaitan terma peribadi bersama pemain berkenaan.
Liverpool mahu mendapatkan pemain sayap PSG itu selepas mencari bintang baharu di bahagian serangan susulan pemergian Mohamed Salah.
Pasukan kendalian Andoni Iraola mengenal pasti Barcola sebagai sasaran utama dan dilaporkan sudah mengusahakan perpindahan itu sejak beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, harga yang diminta PSG menjadi halangan buat semua pihak berminat apabila kelab Perancis itu dikatakan menetapkan nilai sekitar 130 juta pound (RM717 juta) untuk pemain berusia 23 tahun berkenaan.- AGENSI





