KUALA LUMPUR: Pengendali Filipina, Carles Cuadrat melaungkan amaran pasukannya hadir ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras dengan satu misi besar iaitu meraih kemenangan ke atas Malaysia.
Menjelang aksi terakhir Kumpulan B malam ini, peluang Filipina untuk mara ke separuh akhir sangat tipis kerana hanya mengumpul tiga mata berbanding Harimau Malaya yang menghuni kedudukan ketiga dengan enam mata.
Situasi itu meletakkan Malaysia wajib menang untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok empat terbaik, manakala Filipina pula beraksi tanpa tekanan dengan harapan mencipta kejutan ke atas tuan rumah.
Bagi Cuadrat, perlawanan itu tetap mempunyai nilai yang besar kerana ia memberi peluang kepada Filipina untuk mencipta sejarah baharu selepas sekian lama gagal menewaskan Malaysia di gelanggang lawan.
Menurut jurulatih kelahiran Sepanyol itu, barisan pemainnya sudah bersedia untuk memberi tentangan hebat selepas melakukan analisis mendalam terhadap corak permainan Harimau Malaya.
“Ya, kami boleh bermain dengan pelbagai cara dan mengubah persediaan pasukan. Kami sudah menganalisis pasukan Malaysia. Mereka adalah pasukan yang sangat baik dan mempunyai pemain yang sangat berkualiti di bahagian serangan.
“Kami mempunyai pelan, ini peluang untuk kami mencipta sejarah kerana Filipina tidak pernah menang di Malaysia. Mungkin ini peluang yang baik. Kami cuba memotivasikan pemain untuk mendapatkan keputusan yang baik dan berharap perlawanan esok berjalan dengan lancar,” katanya pada sidang media pra perlawanan semalam.
Cuadrat percaya keupayaan menyesuaikan pendekatan taktikal mengikut situasi perlawanan boleh menjadi senjata utama Filipina dalam usaha mengekang ancaman pemain negara.
Kehadiran beberapa pemain yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia turut dianggap sebagai kelebihan tambahan kerana mereka memahami corak permainan dan suasana bola sepak tempatan.
Sebagai rekod, kali terakhir Filipina menewaskan Malaysia adalah pada Sukan SEA 1991 di Manila, menjadikan perlawanan di Cheras sebagai peluang terbaik untuk mereka menamatkan penantian panjang selama 35 tahun dan mencipta sejarah baharu menang di gelanggang lawan.-UTUSAN





