PETALING JAYA: Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee berada di kedudukan terbaik untuk mempertahankan pingat emas acara 100 meter (m) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus melakar kejayaan buat kali kedua berturut-turut.
Pekan berkata, berdasarkan prestasi dan pengalaman yang dimiliki pelari berusia 19 tahun itu, Danish mempunyai kelebihan berbanding pencabar lain menjelang saingan acara riben biru yang dijadual berlangsung di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
“Pelari Danish antara yang konsisten malah di peringkat remaja Asia dan remaja dunia dia menunjukkan prestasi yang bagus. Dia cepat menunjukkan peningkatan. Saya percaya dia adalah pilihan utama untuk memenangi SUKMA 2026,” katanya.
Danish sebelum ini mencatat masa peribadi terbaik iaitu 10.18 saat (s) ketika beraksi pada saringan kedua Sukan SEA 2025 sebelum menamatkan saingan dengan meraih pingat gangsa pada temasya dwitahunan itu.
Pada musim ini, atlet kelahiran Johor itu sekali lagi mencuri tumpuan apabila mara ke final Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat (AS), 6 Ogos lalu sebelum menamatkan saingan di tempat kelapan.
Dalam kejohanan itu, Danish turut merekodkan catatan terbaik musim ini, iaitu 10.30s ketika memenangi saringan keenam untuk melangkah ke separuh akhir.
Bukan itu sahaja, Danish turut membuktikan keupayaannya di pentas antarabangsa apabila mara ke final Kejohanan Olahraga Asia Bawah 20 (B-20) pada Mei lalu sebelum muncul pelari ketujuh terbaik.
Menurut Pekan, pengalaman luas Danish beraksi di kejohanan antarabangsa menjadi antara faktor yang mampu membantu pelari itu mengharungi tekanan ketika turun mempertahankan kejuaraan SUKMA.
“Dari segi pengalaman yang ada, memang tidak ada orang lain selain Danish yang banyak bertanding di kejohanan luar negara. Banyak kejohanan yang telah dia sertai dan itu memberi peluang kepadanya untuk mendapat banyak pengalaman.
“Danish berpeluang untuk menang acara 100m buat kali kedua berturut-turut dan saya fikir tiada pelari lain yang mampu menggugat kedudukan Danish,” katanya.
Pada edisi 2024, Danish memenangi pingat emas menewaskan pelari dari Selangor, Danish Irfan Tamrin dan Muhammad Efrain Feerzan Qhan Mohd Yazid di tempat ketiga yang turut menjadi pencabar utamanya musim ini bersama Muhammad Airiel Iskandar Rusli dan Pengiran Aidil Auf Hajam. – UTUSAN






