SERDANG: Atlet Johor, Danish Iftikhar Muhammad Roslee dan pelari Terengganu, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira mengesahkan status selaku raja dan ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas masing-masing menjuarai acara 100 meter (m) lelaki dan wanita di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Bermula di lorong keempat, Danish Iftikhar menepati ramalan apabila mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi Sarawak 2024 selepas melintasi garisan penamat dengan catatan 10.27 saat (s).
Pelari kebangsaan itu menewaskan atlet Kedah, Muhammad Umaira Subri yang meraih perak menerusi catatan 10.31s, manakala rakan sepasukannya, Muhammad Dzul Danish Jamari melengkapkan podium dengan gangsa selepas merekodkan 10.37s.
Kejayaan itu menyaksikan Danish Iftikhar terus mengukuhkan penguasaannya dalam acara riben biru olahraga apabila mempertahankan gelaran yang diraihnya ketika membuat penampilan sulung di SUKMA Sarawak.
Lebih manis, kejayaan itu membuktikan statusnya sebagai antara pelari pecut terbaik negara ketika ini selepas turut menggalas cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.
Dalam saingan wanita pula, Izzatul Musfirah tampil menebus kekecewaan dua tahun lalu apabila menukar pingat perak di Sarawak kepada emas pada edisi kali ini.

Pelari Terengganu berkenaan mencatat 11.73s untuk muncul terpantas sekali gus merealisasikan misi memburu gelaran ratu pecut SUKMA.
Pingat perak menjadi milik atlet Selangor, Lim Mei Yin dengan catatan 11.96s, manakala Alvinia Aivie Jackly dari Sarawak meraih gangsa selepas merekodkan 12.07s.
Kejayaan Danish Iftikhar dan Izzatul Musfirah sekali gus menyaksikan gelaran raja dan ratu pecut SUKMA kekal menjadi milik pelari yang berjaya membuktikan kehebatan masing-masing dalam acara paling dinanti di temasya berkenaan.-UTUSAN






