PETALING JAYA: Tugas getir menanti Speedy Tigers menjelang kempen Piala Dunia yang akan memulakan tirainya pada 15 Ogos ini namun daripada 20 pemain yang bakal menggalas cabaran negara, tekanan paling besar dirasai sudah tentu lebih terarah kepada penjaga gol.
Dua penjaga gol negara iaitu Hafizuddin Othman dan Muhammad Zaimi Mat Deris bakal dipertanggungjawabkan untuk menjaga pintu gawang pasukan yang diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan, Jerman, pasukan No. 1 dunia, Belgium serta johan Piala Negara-Negara 2026, Perancis.
Apa yang membimbangkan adalah Malaysia hadir dengan rekod kurang menyenangkan menentang Belgium apabila dibelasah 9-1 pada pertemuan terakhir kedua-dua pasukan di Piala Sultan Azlan Shah, tahun lalu.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Hafizuddin yang merupakan pilihan utama menjaga pintu gol negara sedar tugasnya bukan sekadar menjaga gawang gol sebaliknya menjadi benteng utama bagi memastikan Malaysia tidak menjadi mangsa belasahan dalam kempen kejohanan kali ini.
“Memang sangat berat kalau kita tengok perlawanan terakhir kita jumpa Belgium, kita kena 9-1 di Piala Sultan Azlan Shah.
“Di Piala Dunia ini, kita akan beri yang terbaik. Sekurang-kurangnya kita dapat seri. Seri pun 0-0 ataupun kita cuba kurangkan jumlah gol yang kita bolos daripada yang kita kena di Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.
Hafizuddin bakal membuat penampilan kali kedua di Piala Dunia berkata, walaupun bakal bertemu pasukan bertaraf dunia namun itu bukan bermakna Speedy Tigers tidak boleh mencapai keputusan positif.
“Kalau kita tengok macam Jerman dengan Belgium pun kita boleh seri. Kalau kita tengok di Piala Sultan Azlan Shah, Kanada boleh seri dengan Belgium jadi, tak kan kita tak boleh? Kita cubalah, kita cuba.
“Harapan saya di kejohanan ini adalah saya mahu buat yang terbaik dan perbaiki kedudukan daripada edisi yang lalu,” katanya.
Berdasarkan rekod tiga edisi terdahulu, Malaysia menamatkan kempen di kedudukan tercorot pada 2014, sebelum berada di tangga kedua terakhir (2018) dan ke-13 pada 2023. – UTUSAN






