PETALING JAYA: Pengalaman pertahanan Speedy Tigers, Faiz Helmi Jali yang akan beraksi buat kali keempat berturut-turut di pentas Piala Dunia amat ditagih berdepan Jerman dalam aksi pertama kejohanan itu pada Sabtu ini.
Selain Faiz Helmi, kapten pasukan, Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Faizal Saari turut mencatat penampilan keempat mereka dalam kejohanan berkenaan, sekali gus menjadi antara pemain paling berpengalaman dalam skuad negara.
Bagi Faiz Helmi, pengalaman beraksi dalam tiga edisi Piala Dunia sebelum ini mahu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membantu barisan muda negara, terutama mereka yang bakal membuat penampilan sulung di pentas tertinggi dunia.
Pernah berdepan skuad Honamas ketika Piala Dunia 2018 (kalah 5-3) dan aksi persahabatan 2019 (kalah 4-2), Faiz mengakui Jerman adalah kuasa besar yang memiliki kekuatan seimbang di setiap posisi.
“Tugas saya adalah untuk membantu pasukan menerusi pengalaman yang ada dalam edisi keempat ini. Selain memberi dorongan, kami pemain senior bertanggungjawab menterjemahkan taktikal jurulatih kepada pemain muda agar mereka lebih faham.
“Apa yang penting adalah membuktikannya di atas padang. Apa yang jurulatih arahkan, itu yang perlu kami laksanakan dengan sempurna,” katanya.
Selepas Jerman, Malaysia dijadual bertemu Perancis pada 17 Ogos sebelum bertemu pasukan No. 1 dunia, Belgium dua hari kemudian dan mengulas mengenainya, Faiz Helmi berkata, pemain tidak perlu terlalu memikirkan kedudukan ranking lawan.
Sebaliknya, setiap perlawanan perlu dimanfaatkan untuk mengutip sebanyak mungkin pengalaman dan input sebagai persediaan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang menjadi sasaran utama pasukan.
“Apa yang jurulatih cakap itu betul sebab kalau kita tengok ranking, semua pasukan memang berada di atas kita.
“Jadi, kita perlu ambil peluang untuk bermain dengan baik di Piala Dunia, bukan untuk kita jadi pasukan belasahan. Ini persiapan yang bagus untuk kami terus ke Sukan Asia sebab kita pun ada sasaran di Sukan Asia nanti.
“Kita perlu dapatkan banyak input untuk Sukan Asia dan tidak terlalu memikirkan bahawa kita ini pasukan belasahan di Piala Dunia,” katanya. – UTUSAN






