SILVERSTONE: Juara bertahan MotoGP, Marc Marquez terpaksa mengubah gaya tunggangan pada baki saingan musim 2026 bagi menyesuaikan situasi dengan bahu kanannya yang masih belum pulih sepenuhnya.
Pelumba Ducati itu mengakui kecederaan saraf yang dialaminya sejak Grand Prix (GP) Indonesia Oktober lalu serta pembedahan susulan selepas insiden di GP Perancis telah mengubah keupayaan fizikalnya secara kekal.
Walaupun mempamerkan kebangkitan luar biasa dengan memenangi tiga perlumbaan baru-baru ini bagi memadam defisit 102 mata kepada hanya 18 mata di belakang pendahulu, Marquez menegaskan dia kini berlumba dengan ‘lengan yang berbeza’.
“Ia adalah seadanya. Maksud saya, ia berfungsi dengan cara yang berbeza, bercakap mengenai lengan kanan ini. Ia bukan lagi lengan kanan tahun lepas, bukan juga seperti pada awal musim, ia adalah lengan kanan yang berbeza.
“Jadi, saya akan cuba membiasakan diri dan cuba mencari tahap 100 peratus setiap hujung minggu. Beberapa otot bertambah baik, ada yang tidak.
“Jadi, dengan itu, saya cuba mencari jalan, cuba mencari gaya tunggangan yang betul, cuba menyesuaikan gaya tunggangan saya sekali lagi mengikut keperluan keadaan fizikal,” katanya menjelang aksi GP Britain.
Menyentuh mengenai peluangnya untuk merangkul gelaran dunia MotoGP yang kelapan, pelumba Sepanyol itu menegaskan dia tidak berasa tertekan walaupun kini diletakkan sebagai pilihan utama untuk baki musim 2026.
Menurut Marquez, status sebagai juara dunia lapan kali membuatkan dia lebih tenang berbanding pencabar muda lain seperti Marco Bezzecchi, Ai Ogura dan Fabio Di Giannantonio yang masih memburu gelaran sulung mereka.
“Lima pelumba kini berada dalam jarak 25 mata, jadi persaingan kembali bermula dari sifar. Namun, saya tidak rasa tertekan kerana satu lagi gelaran dunia tidak akan mengubah hidup saya.
“Berbeza dengan pelumba muda seperti Bezzecchi atau Ogura, kemenangan akan mengubah masa depan mereka. Ini bermakna mereka akan tampil lebih agresif dan memberikan intensiti tinggi,” katanya. – AGENSI





