MONTREAL: Pemain tenis Britain, Cameron Norrie mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan ketiga dari Australia, Alex de Minaur dalam pusingan ketiga Masters Montreal, semalam.
Kemenangan dramatik 5-7, 7-6 (7/5), 6-1 itu menyaksikan Norrie mempamerkan semangat juang luar biasa apabila bangkit daripada ambang kekalahan selepas ketinggalan satu set dan dua kali servisnya dipatahkan.
Lebih mencuri tumpuan, Norrie berjaya menyelamatkan mata perlawanan akhir pada set kedua sebelum mengheret aksi ke set penentuan yang memakan masa hampir tiga jam.
Kekalahan De Minaur itu menghilangkan seri kejohanan yang sebelum ini sudah pun kehilangan bintang-bintang besar termasuk pilihan utama, Alexander Zverev dan Daniil Medvedev selepas masing-masing tersingkir awal.
Bagi Norrie, kemenangan tersebut adalah suntikan moral terbaik buat dirinya untuk kembali menemui rentak kemenangan selepas kali terakhir menjulang gelaran Masters di Indian Wells pada 2021.
“Ini adalah perlawanan yang hebat untuk menguji tahap kemampuan saya. Saya mendapat keyakinan yang cukup tinggi hasil daripada perlawanan ini.
“Alex bermain dengan sangat agresif pada set pertama dan saya terpaksa bekerja keras untuk mengimbanginya. Saya hanya berjuang mata demi mata dan bernasib baik kerana mampu bangkit pada set ketiga,” kata Norrie.
Sementara itu, De Minaur mengakui kecewa kerana gagal menutup peluang lebih awal meskipun berada dalam kedudukan selesa untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Itulah tenis, apa sahaja boleh berlaku. Saya mempunyai peluang pada awal set ketiga, namun melakukan beberapa kesilapan mudah yang akhirnya memakan diri,” katanya. – AFP





