KOTA BHARU: Empat emas yang diraih di China menjadi pencetus semangat buat atlet taekwondo Kelantan, Muhammad Esyhan Izz Rifqi Badaliza untuk memburu kegemilangan di pentas Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF) Piala Dunia.
Pelajar Tingkatan Empat Maahad Pengajian Islam itu mencipta sensasi apabila mengungguli empat acara pada Kejohanan Jemputan Taekwondo ITF 2026 di Loudi, China, pada 11 dan 12 Ogos lalu.
Kejayaan itu turut menebus kehampaan Esyhan pada kejohanan di Korea tahun lalu apabila sekadar meraih satu pingat gangsa.
Menurut Esyhan, kejayaan meraih emas pertama dalam acara ‘individual pattern’ menjadi pencetus keyakinan untuk memburu lebih banyak kejayaan.
“Ya, Esyhan betul-betul mahu kejar impian untuk mencipta kegemilangan di pentas ITF Taekwondo World Cup. Bagi saya ia merupakan pertandingan peringkat tertinggi yang akan mengumpulkan atlet-atlet taekwondo (aliran ITF) terbaik di dunia.
“Namun saya sedar impian itu bukan mudah untuk dicapai dan banyak aspek perlu saya perbaiki terutama meningkatkan stamina serta mempelbagaikan pergerakan dalam pertarungan,” katanya ketika ditemui semalam.
Mengimbau kejayaan di China, anak sulung daripada lima beradik itu menyifatkan empat emas berkenaan sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka.
“Kemenangan dalam acara ‘individual pattern’ secara tidak langsung menghidupkan satu pecutan semangat dalam diri saya kerana selepas itu timbul keyakinan bahawa saya mampu raih emas dalam ‘individual sparring’.
“Namun tidak sangka pula daripada dua emas, ia akhirnya menjadi empat pingat emas apabila kami turut menggungguli acara ‘Team Pattern’ dan ‘Team Sparring’ pada kejohanan itu,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kelab Highkicks Taekwondo, Siti Rossilawati Othman berkata, pihaknya menyokong penuh impian Esyhan untuk beraksi pada ITF Taekwon do World Cup, dengan peluang itu mungkin hadir pada 2028.
Katanya, Esyhan dan pihak kelab menyasarkan penyertaan dalam semua acara kategori berat badan 55 kilogram atau ‘flyweight’.-UTUSAN






