TORONTO: Pemain No. 1 dunia, Aryna Sabalenka mengesahkan slot ke pusingan 16 kejohanan Toronto Masters selepas menundukkan wakil China, Zhang Shuai dalam aksi straight-set, kelmarin.
Sabalenka yang juga juara bertahan Terbuka Amerika Syarikat (AS) hanya memerlukan tempoh 76 minit untuk mencatatkan kemenangan 6-3, 6-4, sekali gus membuktikan dominasinya di gelanggang keras.
Walaupun bermula agak hambar dalam mencari rentak permainan, bintang Belarus itu bangkit memperkemaskan pukulan untuk memastikan kemenangan memihak kepadanya.
“Saya cuba untuk melangkah ke hadapan namun pada mulanya rentak permainan tidak begitu menjadi. Bagaimanapun, saya mula menemui sentuhan dan bergerak lebih baik di hujung perlawanan. Saya gembira segala-galanya kembali mengikut perancangan,” katanya.
Mengulas mengenai statusnya selaku pemain No. 1 dunia yang kini mencecah lebih 100 minggu, Sabalenka mengakui selesa menjadi ‘sasaran’ pemain lain.
“Saya suka dengan kedudukan ini. Ia bermakna saya berada di hadapan dan pemain lain perlu melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyaingi saya. Saya seronok menjadi pemain yang dikejar, walaupun ia mencabar tetapi ia menjadikan saya lebih kuat,” katanya.
Laluan seterusnya buat Sabalenka adalah menentang pilihan ke-16 dari Rusia, Ekaterina Alexandrova yang mara selepas menyingkirkan wakil Australia, Talia Gibson 5-7, 6-1, 6-3.
Dalam pada itu, pilihan ketujuh dari Poland, Iga Swiatek juga tidak berdepan masalah besar apabila melangkah ke pusingan seterusnya dengan kemenangan mudah 6-2, 6-1 ke atas Viktorija Golubic dari Switzerland dalam tempoh 66 minit.
“Ia adalah hari yang baik dan saya berpuas hati dengan cara saya mengawal tempo perlawanan. Saya cuba memilih bola yang tepat untuk menyerang dan tidak membiarkan pertukaran rentak lawan mengganggu fokus saya.
Turut mengikut jejak langkah ke pusingan 16 terbaik adalah pilihan ketiga dari AS, Jessica Pegula yang menundukkan Kamilla Rakhimova 6-4, 6-0. Pegula dijadualkan bertemu pilihan ke-15, Diana Shnaider bagi perebutan tiket ke suku akhir. – AGENSI





