KANGAR: “Saya minta maaf atas kesilapan yang dibuat, kau redakan sahaja kalau nyawa aku ditarik pada bila-bila masa.”
Itu ungkapan isteri Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman kepadanya ketika tentera Israel meningkatkan serangan terhadap Palestin sejak seminggu lalu.
Isteri serta lapan anak Muhammad Nadir tinggal di Gaza manakala Muhammad Nadir berada di sini atas urusan kerja sejak lebih tiga minggu lalu.
“Saya mahu balik ke Gaza tetap isteri tidak benarkan dan memberi pesanan supaya saya teruskan kerja dan urusan di Malaysia, bagi orang Malaysia faham mengenai Palestin, doa dan berjuang bersama rakyat di sini.
“Aku (isteri) di sini (Palestin) biarkan Allah SWT jaga,” kongsi Muhammad Nadir yang juga Pengerusi Ahli Majlis Tertinggi MyAqsa Defenders pada Forum Jihad Palestin di Masjid Alwi di sini, kelmarin.
Forum berkenaan turut menampilkan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin; Rektor KUIPs, Profesor Dr. Muhammad Rozaimi Ramle dan moderator, ustaz Mohd. Rizal Azizan.
Berkongsi mengenai perkembangan di Gaza, Muhammad Nadir yang tinggal di sana berkata, beberapa hari lalu, isteri ada memaklumkan keadaan semakin teruk di kawasan rumah mereka selepas sebuah dewan bertentangan jalan dibom tentera Israel.
Katanya, isteri kemudian meminta izin keluar daripada rumah untuk menumpang di rumah adik iparnya namun tidak sampai sehari masjid di hadapan rumah berkenaan pula dibom seterusnya menyebabkan kediaman itu musnah.
“Apabila isteri lari keluar bersama anak-anak, dia berkongsi cerita pemandangan di jalan raya sangat menyayat hati. Cebisan daging penuhi jalan raya, tangan, kaki-kaki yang terputus.
“Kongsi isteri, di lokasi berkenaan, 11 orang yang mati syahid. Allah SWT takdirkan isteri dan anak-anak keluar dari kawasan itu dalam keadaan selamat, hanya cedera ringan,” katanya.
Katanya lagi, petang kelmarin dia ada berhubung dengan isteri namun sampai sekarang belum ada balasan.
“Saya rasa mereka masih hidup kerana hati saya masih tenang,” katanya. – UTUSAN






