GOMBAK: Remaja lelaki yang maut dipercayai akibat keracunan makanan selepas mengambil bihun dan telur goreng lazimnya memastikan makanan yang hendak dimakan berada dalam keadaan baik.
Bapa kepada Allahyarham Luth Izhar Kamal, 17, Kamal Baihan, 53, berkata, anak bongsunya itu sentiasa meminta pengesahan tentang status makanan yang ingin dijamah.
Beliau yang bekerja sendiri berkata, arwah anaknya itu ada meminta dia memeriksa keadaan bihun goreng yang mahu dimakan pada hari kejadian.
“Saya telah mencium bihun yang dibawa pulang oleh isteri dan tiada bau tidak elok pada makanan itu.
“Semasa makan, Luth Izhar ada minta tambah telur daripada kakaknya kerana kakaknya tidak makan telur yang ada bersama bihun tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kamal berkata, dia sempat berjenaka dan bergelak ketawa bersama arwah Luth Izhar pada Sabtu lalu.
Katanya, dia sama sekali tidak menyangka ia adalah kenangan terakhir bersama arwah anaknya itu.
Namun begitu, katanya, dia dan isteri serta seluruh ahli keluarga reda dengan pemergiannya.
“Kami sekeluarga tidak mahu menyalahkan sesiapa berhubung kejadian yang menimpa arwah Luth Izhar.
“Jika ada pihak yang mahu menjalankan siasatan, ia terpulang kepada pihak terbabit,” jelasnya.
Sementara itu, sepupu mangsa, Iskhandar Zazumi, 30, berkata, arwah Luth Izhar adalah seorang remaja yang baik budi pekerti.
Katanya, meskipun arwah seorang yang agak pendiam, namun sangat rapat adik beradiknya.
Menurutnya, anak bongsu daripada tiga adik beradik itu baru kehilangan nenek tercinta pada pada 23 Mei lalu.
“Saya kali terakhir berjumpa arwah Luth Izhar semasa malam majlis tahlil nenek kami di Bukit Beruntung, Selangor.
“Tiada sikap ganjil yang ditunjukkan oleh arwah dan kami bertegur sapa sebagai seorang sepupu pada malam tersebut,” jelasnya.
Allahyarham Luth Izhar dikebumikan sekitar pukul 2.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, dekat sini. – UTUSAN






