SUNGAI BULOH: Keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah berharap urusan tuntutan jenazah dapat disegerakan dan berjalan lancar.
Abang arwah, Mohd. Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan berkaitan.
“Belum ada sebarang perkembangan, doakan urusan kami dipercepatkan dan dipermudahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam pada itu, pengamal media dilihat berkumpul di pekarangan Unit Forensik Hospital Sungai Buloh sejak 8 pagi bagi mendapatkan perkembangan lanjut berkaitan tuntutan jenazah Nur Farah Kartini.
Bagaimanapun, tiada sebarang kelibat ahli keluarga Nur Farah Kartini di hospital kerana difahamkan mereka masih menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
Media semalam melaporkan jenazah bekas penuntut Universiti Sultan Idris (UPSI) itu tidak boleh dituntut waris kerana pihak polis perlu menunggu keputusan sampel DNA yang diambil daripada ahli keluarganya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, keputusan bedah siasat hanya akan diketahui beberapa hari lagi kerana masih menunggu laporan lengkap daripada Jabatan Kimia.
Jelasnya, ini kerana masih belum dapat diserahkan kepada waris kerana terdapat masalah bagi mengecam mayat.
“Hasil bedah siasat masih pending laboratory (menunggu laporan lengkap makmal) jadi ia bergantung kepada Jabatan Kimia, mungkin dua ke tiga hari.
“Ada masalah pengecaman daripada visual, jadi kita membuat melalui proses forensik dengan mengambil DNA ibu dan adik beradiknya sebelum mayat diserahkan kepada waris,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan punca kematian masih belum dapat disahkan disebabkan keadaan mayat mangsa telah reput di bahagian dada dan muka.
Hussein dilaporkan berkata, pihak Pakar Patalogi Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat.
“Buat masa ini pakar tidak dapat sahkan sebab kematian kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka,” katanya.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira pukul 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama dan kini direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 11 Julai lalu, mangsa dilaporkan mangsa hilang susulan satu laporan polis bersangkut kes Tanjung Malim, Perak, selepas dikatakan menghantar kereta sewa di Taman Universiti, Tanjung Malim. – UTUSAN





