PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal kehilangan khidmat beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang membuat keputusan mengejut meninggalkan badan induk tersebut.
Nexbyte difahamkan gandingan No. 13 dunia itu bakal meneruskan karier mereka selepas ini selaku pemain profesional mengikut jejak langkah pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Menerusi laporan televisyen tempatan, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky ketika ditemui semalam, tidak pula menolak perkhabaran tersebut dan sebaliknya beliau hanya bersedia menjelaskan kedudukan sebenar berita itu dalam sidang media post-mortem skuad negara pada Sukan Olimpik Paris, hari ini.
“Saya belum boleh komen setakat ini lah, kerana nanti saya harus menunggu apa-apa dari pengurusan serta perbincangan lain,” kata Rexy.
Sze Fei-Izzuddin yang pernah berpisah pada Januari tahun lalu sebelum kembali bergandingan semula enam bulan selepas itu dikatakan menerima tawaran daripada jenama luar.
Beregu itu merupakan pasangan No. 2 negara di belakang pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdasarkan ranking dunia mereka pada ketika ini. – UTUSAN






