KUALA LUMPUR: Tiada pemilihan parti akan dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada 21 Ogos ini.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang berkata, perhimpunan kali ini akan lebih memfokuskan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
‘’Saya rasa lambat lagi kita akan adakan pemilihan. Biasanya orang UMNO ini selagi bukan tahun pemilihan dia tidak membicarakan soal ini.
‘’Bagus juga sebenarnya dari segi bahagian-bahagian, saya rasa yang timbulkan satu bahagian dan bahagian-bahagian lain tidak timbulkan (isu ini).
‘’Tradisinya begitulah dalam UMNO ini, dan seperti yang saya katakan tadi bagusnya dan positifnya kerana kebanyakan bahagian-bahagian akan memfokuskan soal kebajikan dan soal kesejahteraan rakyat,’’ kata beliau.
Asyraf berkata demikian dalam Sidang Media Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Auditorium UMNO, Aras 4, Menara Dato Onn WTC, di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah, Ketua Puteri UMNO, Nurul Amal Mohd Fauzi dan Exco Pemuda UMNO, Mohd. Hafiz Ariffin.
Pada Mac 2023, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa RoS telah menerima usul yang diluluskan oleh PAU.
Asyraf berkata, PAU kali ini akan menjadi medan untuk muhasabah selain parti terbuka untuk mengkritik secara konstruktif bagaimana kepimpinan menteri, timbalan menteri, Pengerusi Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi dan sebagainya.
“Ini kerana sama ada ia efektif dan berkesan dalam memanfaatkan keberadaan UMNO dalam Kerajan Perpaduan untuk rakyat atau sebaliknya,” katanya.- UTUSAN





