PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah akhirnya menamatkan badi pusingan awal di Terbuka Singapura selepas menewaskan pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 25-23, 21-18, pada aksi pusingan kedua, hari ini.
Kemenangan itu bukan sahaja melonjakkan mereka ke suku akhir, malah melebarkan rekod pertemuan kepada 3-1 ke atas pasangan No. 12 dunia itu.
Pearly mengakui beliau banyak membuat kesilapan untuk memberi mata mudah kepada pasangan itu, namun Thinaah banyak memberi bantuan untuk ‘melindunginya’.
“Saya banyak membuat kesilapan mudah pada set kedua yang memberi mata banyak kepada mereka. Saya sangat beruntung pasangan saya (Thinaah) ada berada di sisi saya.
“Beliau banyak membantu saya dan memberi bantuan ketika berada di dalam gelanggang,” kata Pearly kepada BWF selepas perlawanan di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.
Ketika ditanya mengenai keadaan angin, Thinaah berkata bahawa ianya lebih baik sedikit berbanding semalam dan enggan menjadikan alasan untuk gagal ke separuh akhir esok.
“Saya rasa ianya lebih baik (keadaan angin) berbanding semalam. Banyak perkara yang perlu kami membiasakan diri tetapi ianya amat sukar.
“Kami tidak mahu perkara ini menjadi penyebab utama dalam permainan kami esok,” kata Thinaah.
Mereka bakal berdepan cabaran lebih getir pada aksi suku akhir esok apabila menentang pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang sebelum ini menyingkirkan mereka di separuh akhir Malaysia Masters minggu lalu. – UTUSAN






