PUTRAJAYA: Sebuah filem bertemakan anti rasuah kemungkinan akan diterbitkan bagi memupuk elemen benci rasuah dalam kalangan masyarakat.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini seramai tiga penerbit yang menyatakan hasrat mereka untuk menghasilkan filem sedemikian.
“Mereka ada menyatakan hasrat untuk terbitkan filem dengan menarik dan saya sokong malah sedang dalam libat urus bersama pegawai saya.
“Kita telah bertemu dengan mereka dan memberikan beberapa contoh kes (SPRM) untuk diadaptasi.
“Jalan cerita dan plot filem itu mestilah menarik serta tepat menyampaikan mesej anti rasuah,” katanya kepada pemberita dalam sesi khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Bagaimanapun, menurutnya, beliau turut melahirkan hasrat kepada penerbit agar pelakon utama perlu daripada kalangan aktor dan aktres terbaik di negara ini.
“Saya beritahu mereka (penerbit) bahawa mereka mesti serius (dalam menghasilkan filem itu).
“Pelakon wanita dan pelakon lelaki mestilah yang popular, terbaik,” katanya. – UTUSAN





