PETALING JAYA: Pelaksanaan pelbagai program bantuan dan jaminan pembiayaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) memberi manfaat secara menyeluruh kepada semua kaum di negara ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan data semasa, penerima bantuan STR dan SARA bagi kaum Melayu meningkat daripada RM4.5 bilion pada 2022 kepada RM7.1 bilion pada 2025.
“Bagi Bumiputera Sabah dan Sarawak, jumlahnya turut naik daripada RM1.1 bilion kepada RM1.9 bilion, manakala kaum India meningkat daripada RM0.6 bilion kepada RM1 bilion dalam tempoh sama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, bagi SJKP yang memberi jaminan kerajaan kepada pinjaman perumahan, kaum Bumiputera mencatat peningkatan ketara daripada RM2 bilion setakat 2022 kepada RM12.3 bilion bagi tahun 2023 dan 2024, manakala kaum India meningkat daripada RM0.2 bilion kepada RM1.9 bilion.
“Kaum India juga turut menikmati manfaat daripada pelbagai program sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berjumlah RM220 juta,” katanya.
Anwar berkata, bagi SJPP pula, jaminan kerajaan untuk pinjaman perniagaan turut meningkat, dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Cina menerima jaminan sebanyak RM11.9 bilion pada 2022, meningkat kepada RM13.4 bilion pada 2023 dan RM13.9 bilion pada 2024.
“Ia merangkumi lebih 75 peratus daripada jumlah keseluruhan SJPP. Ada segelintir pihak yang gemar menilai dasar ekonomi kerajaan dari sudut kaum, namun angka-angka ini membuktikan bahawa bantuan dan jaminan kerajaan diagih secara adil berdasarkan keperluan, bukan bangsa,” katanya. – UTUSAN






