MUAR: Seorang wanita warga emas maut selepas kereta dinaikinya tersalah masuk laluan dan melawan arus sebelum terbabit kemalangan di Jalan Pintasan Sungai Abong/Bakri, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.10 malam melibatkan kereta jenis Toyota Vios dan Honda City.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Vios yang dipandu seorang wanita berusia 44 tahun telah tersilap masuk ke lorong dan memandu secara melawan arus.
“Kereta wanita berkenaan bertembung dengan kereta jenis Honda City dipandu seorang remaja wanita berusia 19 tahun yang bergerak di lorong sah pergerakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, akibat kemalangan tersebut, penumpang belakang Toyota Vios iaitu wanita warga emas berusia 73 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ujar beliau, pemandu kedua-dua kereta tersebut serta seorang lagi penumpang mengalami kecederaan ringan dan sedang menerima rawatan di Hospital KPJ Bandar Maharani, Muar.
“Hasil ujian saringan air kencing dan alkohol ke atas pemandu Toyota Vios didapati negatif.
“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN






