KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mencabar Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengemukakan klausa khusus dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia–Amerika Syarikat (AS) yang didakwa memberikan status bumiputera kepada syarikat-syarikat AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata, tuduhan tersebut adalah tidak benar dan bersifat fitnah malah hak bumiputera sentiasa menjadi antara garis merah yang dipertahankan sepenuhnya sepanjang rundingan perjanjian berkenaan.
“Mengenai tuduhan bahawa ART memberi status bumiputera kepada syarikat-syarikat AS, saya ingin tegaskan bahawa itu adalah fitnah.
“Hak Bumiputera adalah perkara yang kita lindungi dalam setiap rundingan. Saya cabar Dr. Mahathir untuk kemukakan klausa khusus yang menyatakan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Kaukus Parlimen berhubung perjanjian ART antara Malaysia–AS di Bangunan Parlimen hari ini.
Tengku Zafrul berkata, perjanjian ART bukan perjanjian yang dimeterai secara tergesa-gesa tanpa penelitian sebaliknya merupakan mekanisme bagi melindungi kepentingan ekonomi negara dalam jangka panjang.
“Tanpa perjanjian ART, Malaysia berdepan risiko besar kehilangan akses pasaran AS yang bernilai hampir RM200 bilion tahun lalu.
“Risiko ini bukan kecil. Tanpa perjanjian ART, lebih sejuta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berisiko terjejas akibat keruntuhan rantaian bekalan serta pengalihan pelaburan ke negara lain,” katanya.
Menurut beliau, melalui perjanjian ini juga, Malaysia dapat mengekalkan daya saing global terutama dalam sektor bernilai tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor, di samping memberi keyakinan dan kepastian kepada pelabur antarabangsa.
“Dengan ART, Malaysia juga tidak terdedah kepada tindakan tarif unilateral kerana sebarang perubahan perlu dibincang bersama terlebih dahulu,” katanya.
Semalam, Dr. Mahathir mendakwa syarikat-syarikat AS secara berkesan telah diberikan taraf bumiputera di bawah satu perjanjian ART yang ditandatangani Malaysia dan AS serta menyifatkannya sebagai ‘suatu pengkhianatan terhadap kemerdekaan Malaysia’.
Pada 26 Oktober lalu, Malaysia dan AS menandatangani perjanjian ART sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan, perjanjian tersebut bertujuan meliberalisasikan perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan antara kedua-dua negara, di samping menjadi platform menyelesaikan isu tarif secara bersama.
“Di bawah perjanjian itu, AS mencadangkan pengurangan tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus berdasarkan Executive Order 14257 yang ditandatangani oleh Presiden Donald Trump pada April lalu,” kata kenyataan AGC. – UTUSAN






