PETALING JAYA: Polis mengesan sebanyak 10 syarikat menjalankan kegiatan penipuan susulan 127 laporan polis dimasukkan ke dalam pangkalan data CCID Portal – Semakmule dalam tempoh sebulan sehingga 15 Disember lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, sebanyak 19 laporan polis diterima ke atas syarikat Everhub Wholesale Sdn. Bhd., Aura Home Sdn. Bhd. (19), Myhome Renovation Sdn. Bhd. (18) dan DAC West Pacific Trading Sdn. Bhd. sebanyak 13 laporan polis.
Menurutnya, syarikat lain adalah Endowus Multi Solutian sebanyak 13 laporan polis diterima, TPG Halls Enterprise (10), Texas PG Sdn. Bhd. (9), Across Centuries Group Sdn. Bhd. (9), JMC M Trading Venture (9) dan EG Global View Sdn. Bhd. (8).
“Polis menasihatkan orang ramai yang ingin berurusan dengan syarikat yang baru dikenali supaya tidak terus mempercayainya.
“Semak di Semakmule CCID dengan memasukkan nama syarikat atau nombor akaun bank mereka di mana jika keluar amaran bermaksud ia adalah syarikat penipuan,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN






