PETALING JAYA: Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa satu tahun ini mulai 20 Januari dengan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion.
Bantuan kewangan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bakal memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas yang tiada pasangan.
Penerima akan menerima sebanyak RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan usaha Kerajaan Madani memastikan inisiatif ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan, STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini telah disusun semula.
Katanya, di bawah penambahbaikan itu, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.
Tambahnya, ia menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat.
“STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.
“Pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.
“Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Katanya, soalan lazim (FAQ) berkenaan STR juga disediakan di portal tersebut, manakala status pengkreditan dan soalan lazim (FAQ) SARA boleh disemak terus melalui portal rasmi SARA https://sara.gov.my.
“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan. Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.
“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya.
Kementerian Kewangan berkata, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.
“Sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil. Kerajaan juga berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Kementerian Kewangan mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kewangan tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” katanya. – UTUSAN






