KUALA LUMPUR: Jumlah trafik harian di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka melebihi 160,000 kenderaan menjelang hujung minggu ini susulan pergerakan pulang orang ramai selepas sambutan Tahun Baharu Cina dan berakhirnya cuti persekolahan serta ketibaan awal Ramadan.
WCE dalam kenyataam berkata, kemuncak aliran trafik dijangka berlaku antara Sabtu, 21 Februari hingga Ahad, 22 Februari apabila pengguna lebuh raya mula kembali ke Lembah Klang selepas tempoh cuti panjang.
“Jumlah trafik harian berpotensi untuk melebihi 160,000 kenderaan sehari, dengan kesesakan ketara dijangka berlaku dari pertengahan petang hingga lewat malam di laluan menghala masuk ke Kuala Lumpur dan Lembah Klang.
“Berbeza dengan aliran keluar yang berlaku secara berperingkat pada awal musim perayaan, perjalanan pulang kali ini dijangka lebih padat kerana orang ramai perlu kembali kepada rutin harian menjelang hari-hari awal Ramadan,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna lebuh raya itu disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat.
“Antara langkah dicadangkan adalah memuat turun aplikasi WCE App untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata, paparan CCTV secara langsung serta info lebuh raya terkini.
“Pengguna lebuh raya juga boleh bertolak lebih awal pada waktu pagi bagi mengelakkan waktu puncak petang dan malam,” ujar kenyataan itu. – UTUSAN






