SUBANG JAYA: Atlet menembak Sabah, Nur Aina Natasya Anderson menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan kemanisan apabila meraih pingat emas acara 10 meter (m) air rifle wanita di Lapang Sasar Menembak Subang Jaya, sebentar tadi.
Atlet berusia 19 tahun itu muncul juara selepas mengumpul 244.8 mata, hanya 0.6 mata dibezakan bersama wakil Pahang, Nur Auni Arissa Muhammad Azaha yang meraih 244.2 mata untuk pingat perak.
Manakala atlet dari Perak, Nor Alya Aqila Mahathir pula melengkapkan podium dengan pingat gangsa selepas mengumpul 223.4 mata.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Aina yang terpaksa melalui pertarungan sengit sehingga ke penghujung saingan sebelum impiannya untuk meraih emas pada penampilan terakhir di pentas Sukma menjadi kenyataan.
Aina mengakui masih sukar mempercayai kejayaan tersebut, terutama selepas saingan berlangsung sengit dengan pencabar dari beberapa negeri yang memiliki kekuatan tersendiri.
“Sekarang rasa macam tak percaya dapat menang medal, terutamanya emas. Memang tak jangka sebab sangat sengit tadi.
“Saya sangat gembira dapat capai impian saya iaitu dapat pingat emas dalam SUKMA terakhir saya,” katanya.
Kemenangan itu turut mengundang sebak buat Aina yang mengakui segala penat lelah menjalani latihan sejak berusia 15 tahun akhirnya terbayar selepas kira-kira empat tahun menanti detik tersebut.
“Dari dulu lagi dah mula berlatih dan sekarang baru membuahkan hasil. Untuk SUKMA ini, saya berlatih dari tahun lepas,” katanya.
Pada Sukma Sarawak sebelum ini, Aina sekadar meraih gangsa dalam acara berpasukan selepas gagal melayakkan diri ke final individu berikutan kemerosotan skor pada saingan kelayakan.
Bagaimanapun, pengalaman itu dijadikan pembakar semangat untuk tampil lebih tenang kali ini, malah sorakan penyokong dianggapnya sebagai motivasi tambahan ketika berdepan tekanan.
Namun, selepas ini Aina mahu memberi tumpuan kepada pengajian perubatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang akan bermula September ini, sekali gus menjadikan Sukma Selangor sebagai penutup kariernya.
“Memang inilah yang terakhir sebab saya mahu melanjutkan pelajaran dan kursus saya pun susah. Saya bercita-cita untuk menjadi doktor.
“Kalau diberi peluang, mahu juga (terus menembak), tetapi saya usahakan dulu untuk seimbangkan pengajian dan sukan saya,” katanya.-UTUSAN






