SHAH ALAM: Selangor akan melaksanakan langkah penyesuaian dan penjimatan dalam penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII selaras dengan titah perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya melakukan perbelanjaan berhemat.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, beliau bersama Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari akan menghadap Sultan Selangor pada Rabu ini bagi mempersembahkan langkah penjimatan tersebut.
Katanya, terdapat cadangan-cadangan diterima bagi melaksanakan langkah penjimatan termasuk mengurangkan aktiviti-aktiviti yang tidak berkaitan dengan sukan seperti meneliti semula penganjuran majlis pembukaan dan penutupan SUKMA Selangor 2026.
“Alhamdulillah perkenan baginda memberi kelegaan kepada seluruh ekosistem sukan di negara ini yang bukan hanya melibatkan Selangor, minggu lepas Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu meminta supaya penganjuran diteruskan dengan skala lebih kecil.
“Cuma buat masa ini, baginda menitahkan supaya kurangkan kos. Jadi, kita akur dan akan laksanakan dengan sebaiknya. Kita akan bawa hasil daripada perbahasan dan sesi menghadap Sultan Selangor ke dalam mesyuarat khas jawatankuasa tertinggi pada 30 April (khamis),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau menambah perincian penganjuran dan langkah penjimatan akan dimaklumkan selepas perkara-perkara berkaitan diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa yang berlangsung pada Khamis ini.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan, SUKMA di Selangor disahkan akan diteruskan secara berhemah selepas mendapat perkenan Sultan Sharafuddin.
Keputusan tersebut dicapai selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Selangor pada 23 April lalu bagi membincangkan hala tuju penganjuran temasya berkenaan.
Mohd. Najwan menambah, sehingga kini kerajaan negeri sudah berbelanja sebanyak RM40 juta bagi membaiki dan menaiktaraf semua fasiliti sukan di setiap daerah yang akan digunakan dalam temasya itu nanti.
“Sehingga kini, kerja-kerja tersebut sudah mencapai 80 peratus dan ia dijangka siap pada bulan depan (Mei). Kita berbelanja untuk menaik taraf hampir keseluruhan infrastruktur dan yang menjadi tumpuan adalah lokasi acara utama di Pusat Akuatik Darul Ehsan.
“Tetapi naik taraf itu bukan untuk SUKMA sahaja, maksudnya selepas acara itu nanti pun ia boleh terus digunakan. Fasiliti sukan, pusat akuatik, semua itu kita tidak gunakan untuk satu-satu kejohanan sahaja,” ujarnya.
Temasya dwitahunan itu dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 dengan pendekatan penjimatan dan perbelanjaan lebih terkawal demi memastikan kelangsungan pembangunan sukan negara. – UTUSAN






