PETALING JAYA: Wilayah Persekutuan meneruskan dominasi dalam sukan gimnastik berirama (gimrama) apabila menggondol pingat emas bagi acara berpasukan pada Sukan Malaysia 2026 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, hari ini.
Menerusi acara gelung, bola, belantan dan riben, Wilayah Persekutuan mengumpul mata keseluruhan sebanyak 265.900 mata untuk mengekalkan dominasi mereka dalam sukan tersebut.
Wilayah Persekutuan diwakili empat orang gimnas terdiri daripada Isabella Arissa Mohd Khalimi Ashraf, Rhea Dhaliwall, Angel Wong Poe Syuen dan Cassidy Tan.
Daripada empat disiplin yang dipertandingkan, pasukan itu mencatat mata tertinggi dalam acara belantan setelah mengumpul 71.650 mata.
Dalam tiga lagi acara iaitu gelung menyumbang 66.050 mata kepada Wilayah Persekutuan, manakala, bola turut menghasilkan jumlah kutipan mata yang sama, sementara, riben 62.150 mata.
Pingat perak pula dimenangi oleh tuan rumah, Selangor yang mengutip 251.850 mata, manakala gangsa menjadi milik pasukan Sarawak selepas mengumpul 195.450 mata.
Esok, perebutan pingat bagi acara individu akan bermula di venue sama, dengan Cassidy diramal menjadi atlet kegemaran membawa pulang pingat emas menerusi disiplin bola ,belantan dan riben.
Selain Cassidy, gimnas Selangor, Sam Leeli Momoka turut dijangka mengungguli disiplin gelung selepas dia meraih mata tertinggi iaitu 23.100 sewaktu bersaing dalam acara berpasukan. – UTUSAN






