PETALING JAYA: Tiga beregu campuran negara menempah slot ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Korea Masters di Ansan, Korea Selatan, hari ini, dengan pasangan pecah ganding, Chen Tang Jie-Clarissa San buat kali pertama berjaya berbuat demikian.
Tang Jie-Clarissa yang digandingkan bersama selepas Toh Ee Wei terpaksa berehat panjang akibat kecederaan, mengambil masa selama 41 minit sebelum membenam wakil Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Yu Chun 21-12, 13-21, 21-11 di pusingan kedua.
Beregu itu yang kini menghuni ranking ke-137 dunia bakal berdepan pasangan No. 103 dunia, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa dari Jepun di suku akhir, esok.
Turut beraksi cemerlang satu lagi beregu pecah ganding, Jimmy Wong-Cheng Su Yin yang dipaksa bertarung sengit sebelum berhasil mengetepikan wakil tuan rumah, Kim Joon Young-Lee Yu Lim 13-21, 21-15, 25-23 dalam masa 1 jam 2 minit.
Jimmy-Su Yin yang berjaya mendaki ke ranking No. 72 dunia selepas mara sehingga separuh akhir pada Terbuka Jepun, bulan lalu, akan bertemu satu lagi beregu tuan rumah, Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong di peringkat seterusnya.
Laluan getir dijangka menanti Jimmy-Su Yin, seandainya kedudukan Jae Hyeon-Ha Jeong yang merupakan beregu No. 32 dunia dan diletakkan sebagai pilihan kedua dijadikan sebagai kayu pengukur kekuatan pasangan itu.
Jika berjaya melepasi halangan tersebut dan mara ke separuh akhir, Jimmy-Su Yin berpotensi untuk bertembung dengan rakan senegara, sekiranya Tang Jie-Clarissa juga mengalahkan pencabar mereka.
Sementara itu, satu lagi wakil Malaysia, gandingan muda, Loo Bing Kun-Noraqilah Maisarah Ramdan juga berjaya melayakkan diri ke suku akhir, selepas menewaskan Andika Ramadiansyah-Nozomi Shimizu dari Australia 21-15, 22-20 dalam masa 32 minit.
Pada peringkat lapan terbaik, Bing Kun-Noraqilah bakal menghitung pertemuan dengan beregu No. 36 dunia yang diletakkan sebagai pilihan ketiga, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying dari China. – UTUSAN






