SERDANG: Keputusan Yoyo Wong Zhi Yao menamatkan alam persekolahannya lebih awal ternyata bukan penghalang buat dirinya untuk mencipta kejayaan dalam bidang sukan apabila dia muncul juara acara tukul besi wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.
Mewakili Sarawak, Yoyo menghasilkan balingan sejauh 48.14 meter (m) untuk meraih pingat emas, sekali gus mencatatkan rekod terbaiknya bagi musim ini.
Pingat perak menjadi milik atlet Perlis, Nur Salsabila Mohd Zam Sairon yang melakukan balingan sejauh 47.71m manakala wakil Pahang, Nurul Aiyani Mohamed Kamaluddin meraih gangsa selepas mencatatkan 46.63m.
Lebih bermakna, kejayaan itu membuktikan bahawa latar belakang pendidikan seseorang bukanlah penentu mutlak kepada masa depannya, sebaliknya kesungguhan, disiplin dan peluang yang diberikan mampu membuka ruang untuk seseorang menyerlah dalam bidang yang diminatinya.
Yoyo berkata, dia sememangnya menyasarkan pingat emas dan menjadikan pemegang rekod SUKMA juga dari Sarawak, Grace Wong Xiu sebagai pembakar semangat untuk memberikan sumbangan terbaik kepada kontinjen negeri itu.
“Saya memang sasarkan emas dan ambil semangat Grace untuk berikan Sarawak pingat emas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, jurulatih baling tukul besi Sarawak, Jackie Wong berkata, Yoyo meninggalkan alam persekolahan sejak Tingkatan Tiga dan pernah bekerja sebagai pelayan sebelum membantu neneknya menjual mi kampua di Sibu ketika berusia 16 tahun.
“Tahun lepas saya menjawat jawatan jurulatih baling tukul besi di Sarawak, jadi saya pergi berjumpa cikgu dia, Cikgu Alex. Cikgu Alex kata atlet ini memang sudah lama berhenti, tetapi saya nampak potensi dia memang boleh menyumbang pingat emas untuk Sarawak,” katanya.
Menurut Jackie, potensi Yoyo mula terserlah ketika menjalani latihan apabila atlet itu mampu menghasilkan balingan sekitar 50 hingga 51m.
“Masa latihan memang dia ada buat 50, 51 meter macam itu. Jadi saya nampak potensi dia layak ke Sukan SEA tahun depan sekiranya boleh buat 52, 53m.
“Sasaran kami adalah melayakkan diri ke temasya itu dan saya harap dia terus bekerja keras untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya. – UTUSAN






