KUANTAN: Sudah tiba masanya pelaku atau individu yang menyebarkan fahaman liberal yang bercanggah dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dikenakan tindakan tegas termasuk didakwa di mahkamah.
Golongan tersebut tidak boleh diberi muka kerana fahaman liberalisme jelas menyesatkan umat Islam di negara ini dan dibimbangi jika tidak ditangani dengan bijak, boleh menjejaskan keharmonian negara.
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, usaha lebih agresif perlu dilakukan oleh pihak berkuasa agama bagi mengekang penularan liberalisme.
Beliau mencadangkan semua penguat kuasa agama di seluruh negara supaya mengadakan perbincangan bersama yang turut melibatkan penasihat undang-undang setiap negeri.
“Sudah sampai masanya semua penguat kuasa agama seluruh negara bersatu dan berbincang bagi mengambil tindakan kepada penyebar fahaman liberal,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Nexbyte semalam tentang gesaan agar majlis agama Islam negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak ‘berpeluk tubuh’ dalam mengekang penularan fahaman liberal yang bercanggah dengan ASWJ.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Ada Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor memberitahu, pihaknya mempunyai kakitangan yang cukup dan mempunyai kepakaran dalam membendung penularan ideologi itu di media-media sosial.
Katanya, MAIPs bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan sesi penerangan berkaitan Islam sama ada melalui sesi program atau platform media sosial.
“Setakat ini, penularan fahaman liberal di Perlis masih terkawal dengan rakyat terus berpegang teguh kepada Sunnah Wal Jamaah,” ujarnya..
Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Luqman Abdullah pula berkata, pihak berwajib tidak pernah berpeluk tubuh dalam menangani isu penularan kepercayaan liberal dalam kalangan masyarakat terutama golongan muda.
“Kami ada mengadakan sesi dialog bersama golongan tersebut, mengajak mereka untuk kembali ke jalan yang benar dan memberikan pendidikan akidah kepada mereka. Ini adalah usaha kami untuk membanteras gerakan ini daripada struktur akar umbinya,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad berkata, kerajaan negeri mengambil serius perkara tersebut memandangkan pemikiran sedemikian didapati mula menular dalam kalangan pelajar sekolah.
“Ancamannya tidak terlalu serius namun kita tetap memberi perhatian penuh kerana pemikiran sedemikian didapati mula menular dalam kalangan pelajar di negeri ini, terutama yang berada dalam aliran agama.
“Kita dapati terdapat unsur gabungan antara ajaran tasawuf dan pemikiran radika,” katanya. – UTUSAN






