KUALA LUMPUR: Tindakan Tan Sri Annuar Musa yang menimbulkan banyak kekeliruan kepada akar umbi dan sering membuat kenyataan mendahului serta bercanggah dengan Presiden UMNO dipercayai menjadi antara sebab beliau digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).
Sumber dalaman parti yang berada ketika perjumpaan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Ketua UMNO bahagian memberitahu Nexbyte, parti berpendapat adalah lebih berkesan sekiranya hanya seorang yang menumpukan tiga tugas agar selaras dan senada dengan Presiden dan parti.
“Datuk Seri Ahmad Maslan akan menjadi Setiausaha Agung UMNO, BN dan Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN),” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Dalam pada itu Ahmad mengesahkan Annuar tidak lagi menyandang jawatan sebagai Setiausaha Agung BN.
Beliau bagaimanapun menafikan Annuar dipecat daripada memegang peranan berkenaan sebaliknya jawatan itu digantikan dengan beliau.
“Saya ingin tegaskan ia adalah mengganti seperti yang disebut Presiden dalam mesyuarat tadi. Saya cuma mengganti, biasanya Setiausaha Agung UMNO juga merupakan Setiausaha Agung BN.
“Saya kira itu antara sebabnya malah, saya juga diberi tugas untuk menjadi Setiausaha Agung MN,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Sementara itu, Annuar Musa melalui setiausaha akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Menteri Wilayah Persekutuan itu akan mengadakan sidang akhbar di Putrajaya hari ini bagi menjawab isu berkaitan.
“Ramai rakan-rakan wartawan telefon saya minta komen dan nak interview Tan Sri Annuar. Terima kasih atas keprihatinan semua,” katanya. – UTUSAN






