SHAH ALAM: Rizq Adam Rohizam dari Selangor dan Jamie Tan Huan Ying dari Sabah mencuri tumpuan pada hari pertama acara golf Sukan Malaysia (SUKMA) di Glenmarie Golf & Country Club, di sini hari ini selepas masing-masing muncul pendahulu saingan lelaki dan wanita.
Rizqw mengetuai saingan lelaki dengan catatan tiga di bawah par 69 pukulan catatan yang sama dilakukan Jamie untuk berada di tangga teratas kategori wanita.
Dalam saingan lelaki, Rizq menghasilkan catatan 33 pukulan pada sembilan lubang pertama sebelum melengkapkan sembilan lubang kedua dengan catatan 36 pukulan.
Anson Yeo Boon Xiang dari Sarawak dan Maverick Chua dari Johor mengekori rapat ketinggalan satu pukulan apabila terikat di tempat kedua selepas masing-masing mencatat dua bawah par 70 pukulan.
Bagi saingan wanita, Jamie beraksi cemerlang dengan catatan 34 pukulan pada sembilan lubang pertama dan 35 pukulan pada sembilan lubang kedua untuk keseluruhan 69 pukulan.
Wang Xin Yao dari Perak menduduki tempat kedua dengan satu di bawah par 71 pukulan manakala Amberly Zaira Zamri dari Kedah berada di tempat ketiga dengan menyamai par 72 pukulan.
Jamie, 17, yang berasal dari Kota Kinabalu berkata, beliau berpuas hati dengan persembahannya terutama menerusi permainan pendek (short game) dan pukulan putt yang banyak membantu menyelamatkan pukulan pada pusingan pembukaan.
“Saya rasa sangat berpuas hati dengan permainan hari ini, terutama short game dan putting kerana kedua-duanya banyak membantu saya menyelamatkan pukulan.
“Saya cuma cuba kekal fokus dan tidak terlalu memikirkan keputusan, sebaliknya bermain mengikut pelan yang telah ditetapkan,” katanya.
Jamie turut merekodkan satu eagle, empat birdie dan tiga bogey sepanjang pusingan tersebut.
Mengulas mengenai pusingan seterusnya, pemain Sabah itu berkata beliau akan terus berpegang kepada pelan permainan dengan memberi tumpuan untuk memastikan pukulan berada di laluan fairway dan green.
“Saya akan cuba kekalkan permainan seperti hari ini, fokus kepada fairway dan green. Saya juga perlu kekal tenang dan cuba kurangkan jumlah putt,” katanya.
Bagi acara berpasukan pula bagi kategori lelaki Wilayah Persekutuan muncul pendahlu dengan catatan 214 pukulan diikuti Selangor dengan 218 pukulan manakala di tempat ketiga menjadi milik Kedah dengan catatan 221 pukulan keseluruhan.
Bagi acara berpasukan kategori wanita pula Perak muncul pendahulu dengan melakar 224 pukulan diikuti Kedah berada di tempat kedua dengan 225 pukulan dan Wilayah Persekutuan di tempat ketiga mencatat 228 pukulan keseluruhan.
Seramai 56 pemain lelaki dan 48 pemain wanita akan bertarung selama tiga hari bagi penentuan pingat emas, perak dan gangsa bagi kategori individu lelaki serta wanita serta acara berpasukan. – UTUSAN






