PETALING JAYA: Selepas beberapa bulan tidak beraksi bersama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergelut mencari rentak sebelum mara ke pusingan ketiga menewaskan Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul dari Thailand pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini.
Pasangan No. 4 dunia itu mengambil masa selama 58 minit sebelum menyingkirkan Sukphun-Teeraratsakul 15-21, 21-11, 21-18 di peringkat 32 terbaik.
Kemenangan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik kini melebarkan rekod kemenangan ke atas beregu No. 38 dunia itu menjadi 2-0.
Pada peringkat 16 terbaik, Khamis ini, Aaron-Wooi Yik bakal berdepan sama ada rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun atau gandingan China, Huang Di-Liu Yang.
Ketika ditanya mengenai kesukaran untuk mendapatkan kembali rentak permainan selepas beberapa bulan tidak beraksi bersama, Wooi Yik berkata, pada mulanya memang agak sukar kerana sudah lama membina momentum dan kebolehan yang tetap dalam corak permainan mereka.
“Jadi, apabila tiba-tiba mahu menukar pasangan, ia bukan sesuatu yang mudah bagi saya. Tetapi saya rasa ini adalah satu pengalaman baharu untuk saya belajar bagaimana membina kepimpinan atau apa sahaja yang jurulatih mahukan.
“Kita akan lihat sehingga penghujung tahun ini bagaimana perancangan seterusnya. Buat masa ini, kami hanya fokus kepada perancangan yang diberikan sekarang,” katanya kepada wakil BWF selepas perlawanan berakhir di Stadium Tertutup Indira Gandhi.
Menurutnya, dia dan Aaron sudah berpasangan selama 10 atau 11 tahun, ia tempoh yang lama, jadi, bukan mudah untuk berpisah dan perubahan tersebut mungkin satu percubaan mencari kelainan, manakala, tugas mereka hanya fokus kepada permainan masing-masing.
Sementara itu, nasib berbeza dialami dua lagi wakil negara selepas pemain muda dalam sektor perseorangan lelaki, Justin Hoh dan beregu campuran profesional, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tunduk kepada pencabar masing-masing.
Justin tewas kepada juara All England, Lin Chun Yi dari Taiwan 18-21, 8-21 dalam masa 40 minit di peringkat 64 terbaik.
Pemain berusia 22 tahun itu yang pernah melakar kejutan ke atas bintang No. 8 dunia tersebut di Terbuka Taiwan, tahun lalu, gagal mengulangi rentak kemenangan itu dalam penampilan sulungnya pada Kejohanan Dunia.
Ini bermakna rekod pertemuan kedua-dua pemain kini terikat dengan kedudukan 1-1.
Tien Ci-Chiew Sien pula terpaksa akur kepada wakil Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja 16-21, 3-21 dalam masa 33 minit. – UTUSAN






