MELAKA: Operasi kedai makan dan restoran secara bungkus atau bawa pulang tidak sesuai dijalankan di kawasan-kawasan tumpuan pelancong seperti di negeri ini.
Walaupun sektor itu dibenarkan terus beroperasi sejak Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) kali pertama Mac tahun lalu, rata-rata pengusaha di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini lebih rela tidak beroperasi daripada rugi akibat ketiadaan pengunjung.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengusaha Asam Pedas T.J., Jalil Ahcin berkata, mereka bersedia mematuhi sebarang prosedur operasi standard (SOP) baharu yang lebih ketat terutama dalam memastikan tidak ada pelanggan yang berkumpul ketika menjamu selera.
Beliau merayu kerajaan memberi kelonggaran dengan membenarkan pelanggan makan di dalam premis dengan memperkenalkan SOP yang dirasakan perlu.
“Kawasan tempat saya berniaga di Plaza Mahkota boleh dikatakan semua pengusaha restoran tidak beroperasi sejak 13 Januari lalu. Macam mana nak berniaga kerana kawasan ini adalah tumpuan pelancong.
“Nak jual bungkus dan bawa balik, saya rugi sebab tidak ada orang datang ke kedai. Kawasan ini kebanyakannya tumpuan pelancong domestik. Dua hari saya buka selepas PKP banyak lauk terpaksa dibuang, daripada rugi baik saya tutup,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, pemilik Suraya Bistro di Medan Selera Taman Budaya Mini Malaysia dan ASEAN, Norazman Abas berkata, pendapatan hariannya merosot sebanyak 70 peratus seandainya hanya bergantung kepada bungkus atau bawa pulang.
Katanya, mujurlah pendapatan harian sejak PKP mencukupi untuk membayar sewa premis, bil elektrik, bil air dan membayar gaji seorang pekerja.
“Saya rayu kerajaan berilah kelonggaran kepada pelanggan makan di kedai makan. Kalau boleh hadkan dua orang satu meja dengan penjarakan sosial dan jika ada SOP baharu yang lebih ketat rasanya pengusaha akan akur,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengusaha Kedai Bakso Abang Hensem, Asmahwati Che Mansor pula berkata, hasil perniagaan dalam tempoh PKP hanya mampu menanggung kos membeli bahan mentah sahaja
“Biarpun saya berniaga dengan bungkus dan bawa balik tetapi pendapatan sangat kurang. Ada pun dapat buat belanja harian sahaja. Orang di kawasan Dataran 1Malaysia Klebang sangat kurang bila kawasan pantai ditutup,” kata ibu kepada empat orang anak itu. – UTUSAN






