PETALING JAYA: Pihak sekolah dan ibu bapa perlu terus memantapkan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap anak-anak terutama bagi mereka yang menjalani sesi persekolahan.
Hal ini kerana pada usia enam sehingga lapan tahun, pemahaman terhadap SOP seperti mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dengan betul dan mengambil cecair pembasmi kuman mungkin kurang.
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, ini disebabkan pada tahap berkenaan murid sekolah hanya tahu berinteraksi dengan rakan sebaya tanpa menyedari mereka terdedah dengan persekitaran kurang selamat akibat Covid-19.
“Dengan panduan manual sedia ada, ibu bapa boleh memainkan peranan penting membantu anak-anak mengikuti SOP. Sebab itu kerjasama ibu bapa dan guru amat penting agar mereka dapat mengikuti pelajaran dengan baik.
“Kalau anak-anak sudah tamat sesi persekolahan, ibu bapa jangan lewat mengambil mereka sehingga terpaksa menunggu lama yang menyebabkan perkumpulan di sesuatu kawasan,” katanya kepada Nexbyte di sini semalam.
Isnin lalu, kira-kira 1.1 juta murid pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bagaimanapun, Sarawak mengambil langkah berkecuali dengan menangguhkan sesi persekolahan sehingga 14 Mac ini.
Kementerian Pendidikan baru-baru ini mengunjurkan lima juta pelajar bakal memasuki semula sekolah secara berperingkat selepas lebih sebulan pelaksanaan pengajran dan pembelajaran di rumah (PdPR) pada 20 Januari lalu ekoran kes positif Covid-19 yang tinggi.
Senada dengan beliau, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBGN), Datuk Mohammad Ali Hassan berkata, pihak sekolah, alumni dan ibu bapa juga perlu sentiasa memupuk sifat disiplin dalam diri murid sekolah selain saling ingat-mengingati tentang amalan kebiasaan baharu.
“Saya percaya anak-anak kita masih muda dan senang dilentur. Jadi tiada masalah untuk menasihati mereka. Selain itu, sekiranya ada pelajar yang mungkin bergejala, jangan panik. Ambil tindakan segera mengasingkan mereka dan sentiasa bersedia dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku,” katanya. – UTUSAN






