PETALING JAYA: Orang ramai kini berpeluang menyaksikan aksi perlumbaan Formula 1 secara langsung dengan Tiket Madani yang ditawarkan serendah RM200 khusus kepada pemegang MyKad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia merasai pengalaman menyaksikan Formula 1 secara langsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Alhamdulillah, hasil perbincangan dan persetujuan bersama Bahrain, kerajaan sukacita mengumumkan Tiket MADANI khusus untuk pemegang MyKad pada harga serendah RM200 bagi akses sepanjang tiga hari acara.
“Moga inisiatif ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman Formula 1 secara langsung di Sepang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata, butiran lanjut mengenai penjualan Tiket Madani itu akan diumumkan oleh pihak SIC dalam masa terdekat.
Berdasarkan harga tiket yang diumumkan Litar Antarabangsa Bahrain, rakyat Malaysia yang memiliki MyKad boleh memilih daripada enam kategori tiket, dengan pilihan Hillstand G berharga RM200 sebagai pakej paling murah.
Bagi peminat antarabangsa pula, harga tiket tiga hari ditawarkan antara AS$218.90 (RM895) hingga AS$566.05 (RM2,316).
Perlumbaan itu menandakan kepulangan Formula 1 ke Malaysia buat kali pertama sejak 2017 selepas acara berkenaan menggantikan Grand Prix Bahrain yang tidak dapat berlangsung mengikut jadual asal.
Bagi rakyat Malaysia, tiket tiga hari bagi kategori Grandstand Nexbyte berharga RM2,083.40, diikuti Grandstand K1 (RM1,386), Grandstand F (RM1,291.40), Hillstands B dan C (RM809.60) serta Hillstand G (RM200).
Sementara itu, peminat antarabangsa perlu membayar AS$566.05 untuk Main Grandstand, diikuti Grandstand F (AS$376.39), K1 Grandstand (AS$350.13) serta Hillstands B dan C (AS$218.90).
Tiket kategori grandstand menawarkan tempat duduk serta pemandangan dari kawasan bumbung, manakala Hillstands B, C dan G menyediakan kawasan tontonan terbuka berumput.- UTUSAN






