TEMERLOH: Hasrat seorang wanita dan anak lelakinya untuk berjumpa suaminya tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki sebelum terbakar di Jalan Temerloh-Triang berhampiran Kampung Lebak, di sini, semalam.
Nur Fatima Syuhada Abdullah, 39, dan anaknya, Muhamad Fattah Aisy Naufal Saifulnizam, 12, rentung dalam kemalangan kira-kira pukul 4 petang itu selepas lori tangki yang membawa kira-kira 32,000 liter petrol dan diesel terbabas sebelum terbalik lalu menghempap kenderaan mereka.
Nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari Jerantut, dekat sini ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menemui suami Nur Fatima Syuhada, Saifulnizam Sulaiman, 39, yang berada di bandar berkenaan atas urusan kerja.
Saifulnizam berkata, isterinya yang membantu menguruskan perniagaan keluarga bertolak dari Jerantut kira-kira pukul 2 petang selepas anak mereka pulang dari sekolah dan dijangka tiba di Seremban sekitar pukul 6 petang.
“Kali terakhir saya jumpa isteri dan anak adalah Selasa lalu. Kami seperti biasa dan tiada apa-apa perubahan. Isteri sentiasa beritahu saya mereka bergerak pukul berapa, berhenti di mana dan keadaan sepanjang perjalanan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), di sini, hari ini.
Menurut Saifulnizam, dia berasa tidak sedap hati apabila mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar kepada isterinya sekitar pukul 5 petang tidak berbalas, selain panggilan telefon tidak dijawab.
Katanya, sepanjang 14 tahun bersama, isterinya tidak pernah berbuat demikian menyebabkan dia mula bimbang selepas mengetahui berlaku kemalangan di Jalan Temerloh-Triang.
“Saya sedang buat kerja ketika itu. Pukul 7 malam saya tengok telefon, mesej WhatsApp tidak berjawab dan panggilan juga tidak dijawab. Sepanjang 14 tahun bersama, dia tidak pernah buat begitu.
“Bila saya nampak dalam media sosial ada berita kemalangan di Jalan Temerloh-Triang, terus terdetik dalam hati, ini mungkin isteri dan anak saya,” katanya dalam nada sebak.
Saifulnizam kemudian menghubungi ahli keluarganya sebelum bergegas dari Seremban ke Temerloh bagi mendapatkan kepastian mengenai keadaan isteri dan anaknya itu.
“Saya hanya tengok satu rakaman papan pemuka yang menunjukkan keadaan sebelum lori tangki itu terbalik. Rakaman lain saya tidak sanggup tengok kerana saya tahu isteri dan anak saya berada dalam kenderaan berkenaan.
“Saya sampai kira-kira pukul 1 pagi dan sudah melihat jasad isteri serta anak. Saya tidak sanggup melihat video kemalangan itu kerana saya tahu mereka berada di situ,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika lori tangki terbabit dalam perjalanan dari Bera ke Temerloh sebelum terbabas dan terbalik lalu menghempap kereta mangsa.
Katanya, kebakaran yang berlaku selepas kemalangan itu menyebabkan kedua-dua mangsa rentung manakala pemandu lori tangki berusia 37 tahun mengalami kecederaan ringan.
“Walaupun keluarga mangsa sudah tampil memberi keterangan kepada polis, pengesahan identiti kedua-duanya dijalankan melalui perbandingan DNA waris,” katanya. – UTUSAN






