KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka berada dalam fasa pemulihan ekonomi dan akan kembali stabil pada suku ketiga tahun ini sekali gus mencapai pertumbuhan ekonomi pada kadar empat peratus.
Unjuran itu boleh dicapai berikutan semakin banyak sektor ekonomi dibuka secara berperingkat yang merangsang pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selaras dengan program vaksinasi.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ekonomi negara pula dijangka berada dalam fasa pemerkasaan pada suku keempat dan diharap petunjuk pasaran dalam Indeks Komposit Kuala Lumpur (FBM KLCI) terus meningkat.
“Hal ini juga boleh dipengaruhi jika bilangan pesakit Covid-19 kategori tiga hingga lima berkurang, orang ramai sudah mula melakukan kegiatan ekonomi semula malah ada beberapa negeri sudah melangkah ke fasa-fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Pun begitu, keputusan paling mampan adalah kita harus menunggu suku ketiga tahun ini tamat baharu kita boleh membuat kesimpulan tentang keadaan perkembangan ekonomi,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin berkata, pasaran pelaburan negara menunjukkan kadar pertumbuhan amat memberangsangkan setakat 30 Ogos berbanding 20 Ogos lalu atas faktor kadar vaksinasi tinggi dan kestabilan politik selepas pertukaran kerajaan, baru-baru ini.
Pada Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan ekonomi akan berkembang pada kadar enam hingga 7.5 peratus namun disemak semula kepada tiga hingga empat peratus setelah mengambil kira perkembangan ekonomi global terkini, pelaksanaan fasa pertama dan peralihan berperingkat PPN, kadar vaksinasi dan kapasiti sistem penjagaan kesihatan.
Untuk rekod, ekonomi negara mencatat pertumbuhan tinggi pada suku kedua tahun ini sebanyak 16.1 peratus berbanding penguncupan -0.5 peratus pada suku pertama tahun sama. – UTUSAN ONLINE






