PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan diminta mengenal pasti jumlah murid yang tercicir akibat pandemik Covid-19 dan segera mengadakan program intervensi khas bagi mengatasi masalah tersebut.
Bercakap kepada Nexbyte, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kumpulan sasaran yang tercicir teruk ketika ini ialah murid Tahun Satu dan Tahun Dua selain murid dalam golongan miskin dan pedalaman.
“Murid Tahun Satu dan Dua masih bergelut dalam kemahiran praktikal iaitu kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) manakala murid-murid miskin dan dari pedalaman tercicir banyak topik disebabkan masalah capaian internet.
“Kumpulan sasaran ini perlu dikenal pasti kerana Kementerian Pendidikan tidak mengeluarkan data rasmi bilangan murid yang tercicir. Jika dapat dikenal pasti, satu program intervensi perlu dilakukan menerusi bajet tambahan dan menggunakan guru-guru pakar untuk mengajar anak-anak tercicir teruk ini,” katanya.
Menurut beliau, ada juga murid yang enggan kembali ke sekolah kerana sudah mendapat pekerjaan untuk menyara keluarga.
“Ada kita jumpa kes yang murid tak mahu ke sekolah lagi kerana sudah dapat kerja dan ibu bapa pula hilang mata pencarian, jadi mereka merasakan anak sudah boleh menyara keluarga dan tidak akan memintanya kembali ke sekolah.
“Ini sudah jadi balik seperti zaman dahulu, belum habis sekolah sudah mula fikir pasal kerja. Murid-murid seperti ini perlu dikenal pasti dan perlu dibantu supaya mereka dapat balik ke sekolah, barulah pulih daripada keciciran,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, satu lagi kumpulan murid yang perlu dikenal pasti adalah murid yang hilang motivasi dan kurang bersemangat untuk meneruskan pembelajaran.
“Setiap sekolah perlu membuat program motivasi dalam tempoh dua tiga minggu selepas pembukaan sekolah bagi membantu memulihkan semula motivasi pelajar yang terjejas dari segi psikologi dan mental setelah kira-kira 18 bulan tidak bersekolah secara bersemuka,” katanya.
Jelasnya, jika jumlah murid yang tercicir dikenal pasti dengan segera serta melakukan program intervensi khas, murid-murid tersebut akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima ke enam bulan untuk kembali pulih daripada tempoh keciciran.
“Kalau berdasarkan pemulihan pendidikan yang dilakukan negara-negara luar memang mengambil masa yang panjang. Yang paling ekstrem jika murid itu merupakan anak yatim piatu akibat Covid-19, dia mengalami kemurungan dan keciciran pendidikan, pastinya akan mengambil masa sangat panjang untuk pulih,” katanya. – UTUSAN ONLINE






