ALOR GAJAH: Perikatan Nasional (PN) akan menggunakan seluruh kekuatan jentera tempatan dan dari luar Melaka untuk menarik lebih banyak sokongan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara.
Bercakap kepada Nexbyte, calon PN di kerusi itu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beliau sedang berusaha untuk merobohkan kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, empat hari yang tinggal sebelum hari pengundian pada Sabtu ini merupakan tempoh kritikal bagi memperkenalkan PN kepada rakyat.
“Saya masih cuba untuk menarik pengundi kerana semua tahu Tanjung Bidara adalah kubu kuat BN. Jadi, masa yang tinggal akan digunakan sebaik mungkin bagi menarik lebih banyak sokongan kepada PN.
“Saya bersyukur walaupun serba kekurangan, namun jentera parti tetap menunjukkan semangat yang tinggi.
“Kerja keras ini bukan sahaja melibatkan jentera tempatan, malah ada juga rakan-rakan yang datang dari luar Melaka untuk memberi bantuan kepada kami khususnya di Masjid Tanah,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, beliau mengiringi Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada program minum petang di Pantai Pengkalan Balak di sini.
DUN Tanjung Bidara antara kerusi yang menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana turut ditandingi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang mewakili BN dan calon Pakatan Harapan (PH), Zainal Hassan.
Sementara itu, mengulas berhubung pengundian awal, Mas Ermieyati yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Masjid Tanah berkata, ia berjalan dengan baik dan mengucapkan terima kasih kepada yang pengundi terlibat. – UTUSAN ONLINE






