MELAKA : Datuk Mas Ermieyati Samsudin berharap pencalonan beliau sebagai Ketua Menteri pada saat-saat akhir akan membawa angin kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bercakap kepada Nexbyte, calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara itu percaya langkah berkenaan secara tidak langsung dapat menarik sokongan pengundi wanita apabila buat pertama kali kaum hawa dicalonkan sebagai Ketua Menteri.
Katanya, fokusnya kini adalah membawa kemenangan dan akhirnya berupaya membentuk kerajaan negeri.
Malah tambahnya, beliau percaya rakyat Melaka mahukan perubahan baharu termasuklah sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat.
“Membawa kemenangan kepada PN, itulah impian saya sekarang. Itu lebih penting agar kita dapat membentuk kerajaan.
“Insya-Allah PN akan menang pada PRN Melaka ini, segalanya kita berserah kepada Allah,” katanya.
Terdahulu, PN menamakan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri jika gabungan parti itu menang dalam PRN Melaka Sabtu ini.
Perkara itu diumumkan dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Ibu Pejabat PN, Kuala Lumpur.
Menurut Mas Ermieyati, masih terlalu awal bagi mengemukakan rancangan pembangunannya untuk negeri itu.
“Bagi kita menang dahulu, baru fikir kemudian,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan pengumuman pencalonannya semalam tidak lewat dan lebih merupakan strategi PN dalam menghadapi PRN Sabtu ini.
Mas Ermieyati ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah dan calon PN untuk DUN Tanjung Bidara dan bakal berdepan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon PH, Zainal Hassan. – UTUSAN ONLINE






