KURANG 24 jam lagi 1.2 juta pengundi Sarawak akan tentukan nasib parti-parti bersaing dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.
Berikut pengamatan Nexbyte selepas berakhir 12 hari berkempen 11.59 malam ini.
1. Gabungan Parti Sarawak (GPS)
i) Pindaan Perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan Dewan Rakyat Selasa lalu suatu kemenangan besar kepada perjuangan GPS diterajui Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Akhirnya Sarawak dan Sabah ditakrifkan Negeri-Negeri Borneo. Bermakna, Sarawak sama taraf dengan Semenanjung, sekali gus menangkis naratif dakyah `bebaskan Sarawak dari Malaysia’ diuar-uarkan Parti Bumi Kenyalang dan Parti Aspirasi.
ii) Komitmen Abang Johari gerakkan 110 inisiatif sejak GPS dibentuk Jun 2018 kian diperkukuh, dirasai. Dari peruntukan disalur 2018 hingga 2022 berjumlah RM10 bilion (x 4) setiap tahun, sekitar 60 peratus diagih ke luar bandar untuk infrastruktur air terawat dan pembinaan 10 jambatan, termasuk yang dibatalkan semasa Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan. Ongkosnya RM6 bilion. GPS turut komited pastikan isu bekalan elektrik dan capaian internet diatasi dengan sasaran selesai 2025.
iii) Jangkaan menang GPS: Antara 65 hingga 68 kerusi, melepasi majoriti dua pertiga 55/82.
2. DAP
i) Sejak bertapak 1978 di Sarawak, tak toleh belakang lagi terutama selepas 1996. Walaupun cuma raih tujuh kerusi PRN 2016, DAP adalah pembangkang paling menyerlah. Mainkan naratif kelemahan GPS khususnya SUPP dan cuba manipulasi `karektor pemimpin politik Semenanjung’ , DAP dijangka kekalkan tujuh kerusi sedia ada.
3. Parti Sarawak Bersatu (PSB)
i) Pencabar kedua terkuat komponen GPS iaitu PRS. Diketuai presiden yang tahu selok belok cara politik Barisan Nasional, Datuk Seri Wong Soon Koh, calon tertua 79 tahun. Tanding 70 kerusi dengan rangkaian calon disaring ketat, PSB perjuangkan kepimpinan Dayakisme – yang meliputi 40 peratus populasi Sarawak di lebih 30 kerusi.
4. Parti Bumi Kenyalang (PBK)
i) Parti kedua terbanyak tampilkan calon, 73 semuanya. Perjuangkan ideologi sempit `merdekakan Sarawak’ yang berbahaya kepada sistem Persekutuan. Mampukah pindaan Perlembagaan MA63 yang diluluskan melenyapkan dakyah PBK di mata pengundi?
5. PKR
i) Bertanding 28 kerusi berbanding 40 pada 2016. Nasib PKR di Sarawak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tiga wakilnya yang menang 2016, semuanya cabut lari. Baru Bian (Ba’Kekalan) dan See Chee How (Batu Lintang) ke PSB, sementara Datuk Ali Biju lompat ke Parti Pribumi Bersatu Sarawak (Bersatu).
Lebih realistik kali ini, PKR cuma sasar `lebih tiga kerusi’.
6. Pas
i) Alasan Pas tidak letak ramai calon seperti mana 11 orang pada 2016 kerana nak elak ancaman Covid-19, amat lemah. Keputusan bertanding satu kerusi di Beting Maro kerana mahu fokus lahirkan `anak sulung’ di Sarawak. Pada PRN 2011, Pas nyaris menang, tewas 391 undi sahaja. Pada 2016, calonnya, Hamidah Mokhtar yang meraih 3,051 memberi suntikan semangat tinggi kali ini untuk Pas mencipta sejarah di Beting Maro.
7. Parti Amanah Negara (Amanah)
i) Cuma raih sokongan 1.5 peratus undi dalam PRN 2016, kurang sedikit dari 1.7 peratus diperoleh `abangnya’, Pas. Tewas semua 13 kerusi dan kali ini bertanding lapan. Jentera parti lemah. Calon tidak meyakinkan. – UTUSAN ONLINE






