PETALING JAYA: Kerajaan mesti menumpukan perkara asas melalui projek khas dengan menyediakan penempatan untuk mangsa banjir sebelum berniat merancakkan pemulihan ekonomi negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.
Tanpa infrastruktur dan kemudahan lengkap untuk rakyat, sukar bagi kerajaan mencapai matlamat itu kerana mereka yang terjejas tidak mampu menggerakkan aliran ekonomi tanpa keperluan asas meneruskan kehidupan.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, hal itu perlu terutama di Selangor yang antara negeri paling terjejas akibat banjir sedangkan ia berperanan sebagai ‘nadi’ ekonomi negara.
“Usah fikir soal perdagangan, meningkatkan eksport dan import, ekonomi digital dan sebagainya dahulu. Apa ertinya kalau merancakkan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan tetapi rakyat hilang keperluan asas terutama rumah?
“Apabila sudah ada tempat, akses ketersambungan antara jalan raya sudah baik semula, baharulah aktiviti ekonomi negara kembali rancak. Hingga kini, saya tidak nampak tanda-tanda kerajaan mahu menyediakan kemudahan untuk rakyat.
“Kita tidak akan mampu mencapai perkembangan ekonomi kerana rancangan negara untuk suku tahun keempat 2021 sudah tergendala dan terpaksa dianjakkan ke tahun ini. Jadi, banyak yang perlu diselesaikan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan merancakkan pemulihan ekonomi dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif selain mewujudkan sekurang-kurangnya 600,000 peluang pekerjaan baharu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md. Yasin pula berkata, bukan mudah untuk negara merancakkan ekonomi meskipun sudah tampil dengan beberapa pelan jangka pendek dan panjang.
Katanya, kehadiran varian Omicron dilihat boleh memperlahankan dan menjejas keyakinan terhadap pemulihan ekonomi negara jika tiada langkah-langkah drastik mengawal penularannya.
Bagaimanapun beliau optimis kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 akan meningkat pada lima hingga enam peratus didorong oleh kegiatan ekonomi digital yang benar-benar memainkan peranan ketika negara melaksanakan sekatan pergerakan penuh.
“Ekonomi kita sekarang sudah menunjukkan angka lebih baik dan sudah ramai yang bekerja semula,” katanya. – UTUSAN ONLINE






