SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari akan membantu kempen adiknya, Aziz Shari dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor walaupun setakat ini beliau belum lagi diputuskan oleh pimpinan PKR.
Amirudin berkata, beliau akan menyokongnya sama seperti calon lain daripada PKR sekiranya tersenarai antara yang bertanding pada pilihan raya di negeri itu nanti.
Menurutnya, tidak dinafikan Aziz agak kehadapan kerana giat aktif dalam aktiviti parti terutama dalam kawasan Pontian walaupun beliau yang kali pertama bertanding dikatakan akan menentang calon heavyweight iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Hasni Mohamad yang juga Menteri Besar Johor.
“Sebagai ahli PKR, menjadi tanggungjawab saya untuk turun dan membantu sesiapapun calon yang bertanding, itu pertama. Kedua pencalonan beliau (Aziz) masih belum pasti kerana senarainya belum dibentangkan lagi.
“Mengenai posisi kononnya akan dipilih sebagai Menteri Besar, pada saya kita perlu fokus menangkan calon dahulu, itu pun kalau bertanding. Kalau menang pun, mungkin ramai lagi yang senior yang berpengalaman di peringkat Persekutuan, politik dan ikhtisas lain melayakkan diri untuk menjadi Menteri Besar,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Aziz bersedia menyahut cabaran untuk menentang Hasni dalam PRN Johor walaupun pertama kali dicalonkan sekiranya mendapat restu daripada pimpinan parti untuk bertanding.
Amirudin menambah, Aziz berhadapan cabaran besar sekiranya tercalon untuk menuntut kerusi DUN Benut berikutan Hasni dikenali di kawasannya selain mempunyai pengalaman luas dalam politik.
Jelas Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor itu, Hasni merupakan sosok politik berpengalaman yang bermula sebagai Ahli Parlimen Pontian, ADUN Benut selama tiga penggal, memegang jawatan exco kanan dan menjadi Menteri Besar Johor.
“Isu yang penting juga adalah jaringan, secara asasnya UMNO dan BN sudah lama bertapak di Johor dan mempunyai jaringan jentera yang kukuh dan sebagainya, namun pada pilihan raya lepas, PH berjaya mewujudkan ombak besar dan mempengaruhi banyak keputusan, termasuk juga di Pulai Sebatang, Segamat, Tanjung Piai dan sebagainya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amirudin turut memberitahu beliau melihat peluang PKR dalam PRN Johor di sebalik kepincangan kesepakatan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memberikan kelebihan kepada partinya. – UTUSAN ONLINE






