PETALING JAYA: Penanaman ketum bagi tujuan komersial dan eksport boleh ‘dihalalkan’ dengan syarat ia dikawal secara menyeluruh oleh pihak berkuasa sama seperti kawalan terhadap rokok dan dadah.
Bercakap kepada Nexbyte, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mengakui, terdapat kesan penagihan terhadap penggunaan ketum, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak menggalakkan penanamannya.
Namun katanya, terdapat pandangan pihak perubatan kesan penagihan ketum terhadap kesihatan diri jauh lebih rendah berbanding rokok dan dadah.
“Jadi kalau kita benarkan rokok, apa salah benarkan ketum?
“Cuma masalah ketum ini adalah penanamannya tidak terkawal dan penguatkuasaannya agak susah. Sebab itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mahu membuat pindaan terhadap Akta Racun 1952 bagi mengawal tanaman ketum,” katanya.
Beliau mengulas desakan beberapa pihak antaranya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor; Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyokong penanaman ketum.
Mereka berpendapat, ketum bukan sahaja boleh digunakan sebagai ubat, tetapi juga menjadi salah satu sumber pendapatan negara.
Boon Chye juga mengakui penghasilan ketum dapat membantu menjana ekonomi negara terutama di negeri-negeri utara Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting adalah kawalan secara menyeluruh dari mula penanaman ketum hinggalah ia dieksport ke luar negara.
Menurutnya, ketika ini kerajaan mempunyai jawatan kuasa berkaitan ketum melibatkan Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Lebih baik kerajaan regulate supaya ketum ini tidak di luar kawalan anak-anak remaja, kerana tanaman pokok ketum ketika ini tidak dikawal tidak seperti opium dan heroin. Dalam bidang perubatan, ubat seperti morfin dan kodeina juga dikawal bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Setiap penanaman ketum perlu ada kelulusan, perlu ada rekod, tanaman berapa banyak, begitu juga dengan eksport. Kita perlu ada sistem track and trace supaya tahu ke mana perginya hasil penanaman ketum,” katanya. – UTUSAN






