JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesahkan tiada kluster baharu Covid-19 membabitkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dikesan di negeri itu setelah 10 hari pilihan raya berkenaan berakhir.
Bercakap kepada Nexbyte, Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Aman Rabu berkata, pihaknya percaya perkembangan baik itu hasil prosedur operasi standard (SOP) khas PRN Johor yang dibentuk Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Berdasarkan pemantauan ke atas data harian di negeri Johor pasca PRN, tiada kluster baharu melibatkan PRN Johor. Ini susulan SOP Khas yang memastikan tiada kes positif dibenarkan keluar mengundi.
“Malah, mereka dalam kategori Individu Dalam Siasatan (PUI) dan Individu Yang Dijangkiti Penyakit Berjangkit (PUS) juga hanya dibenarkan mengundi sekiranya mendapat kebenaran secara bertulis daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang menyelia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
PRN Johor berakhir pada 12 Mac lalu setelah dua minggu kempen dibenarkan bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari.
Pelbagai pihak sebelum ini terutama para pengundi dilihat bimbang dengan penularan kes Covid-19 yang tinggi di negeri itu dan seluruh negara sehingga mendorong mereka enggan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pemilih.
Sementara itu, sehingga pukul 12 tengah hari kelmarin, sebanyak 1,441 kes baharu positif Covid-19 dikesan di Johor dengan 1,403 merupakan kes tempatan selain 18 kematian dicatatkan.
Namun, angka itu semakin menurun berbanding 2,298 kes positif baharu yang direkod pada 12 Mac lalu iaitu hari pengundian PRN Johor diadakan. – UTUSAN






