PETALING JAYA: Kira-kira 9.1 juta daripada 15 juta tenaga kerja dengan kelulusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan ke bawah berpotensi masuk ke dalam kumpulan miskin tegar sekiranya Malaysia beralih menjadi negara Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) sepenuhnya.
Bercakap kepada Nexbyte, pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini kerana tenaga kerja yang berkelulusan setakat SPM itu dilihat menjadi korban pertama sekiranya Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) diiktiraf dengan meluas disebabkan mereka tidak mempunyai kemahiran.
“Kumpulan tidak mahir ini termasuk dalam jerat kelas menengah dan jerat kelas menengah itu telah mengehadkan pendapatan.
“Kalau lihat lebih 50 peratus pekerja mendapat gaji RM2,500 atau lebih rendah, sedangkan kos sara diri bagi bujang pada masa kini pun mencecah RM3,000. Jadi bagaimana mungkin individu berpendapatan rendah hidup dalam kos sara hidup yang tinggi.
“Kalau dibiarkan, kita akan tiba-tiba terduduk kerana 9 juta tenaga kerja dengan berkelayakan setakat SPM itu menjadi miskin tegar,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, pasaran buruh di Malaysia didominasi oleh tenaga kerja berkelulusan SPM dan ke bawah yang mana trend ini sudah berlarutan sejak 2002.
Fenomena ini mencetuskan kebimbangan Malaysia kekurangan tenaga kerja mahir dan secara tidak langsung menjejaskan masa depan negara menuju status negara maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.
Berdasarkan, Survei Tenaga Buruh Malaysia 2021, jumlah tenaga kerja lulusan SPM meningkat sejak 19 tahun lalu iaitu daripada 2.9 juta pada 2002 kepada 6.7 juta tahun lalu berbanding lepasan lain seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) seramai 738,200, sijil daripada pelbagai institusi 299,999, diploma sebanyak 1.4 juta manakala ijazah 2.3 juta orang.
Pada tahun 2021, daripada jumlah 15 juta tenaga kerja di seluruh negara, 9.1 juta atau 60 peratus didominasi lulusan SPM dan ke bawah termasuk 1.1 juta membabitkan lulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) atau setaraf dan 1.3 juta berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, kerajaan perlu meningkatkan kempen Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi membolehkan kumpulan tidak mahir itu mengikuti program insentif sambil bekerja.
Katanya, langkah itu supaya mereka mendapat kemahiran dan kelayakan baru untuk membolehkan mereka dinaikkan pangkat memegang jawatan baharu sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
“Ini perlu dipergiatkan sebab perkara ini ada dua masalah. Pertama majikan tidak begitu kisah kerana tidak mampu bayar gaji lebih, jadi tidak kisah kalau mereka tak jalani latihan.
“Kedua pekerja tidak kisah sebab mereka melihat ia sebagai hakikat serta takdir hidup dan bukannya melihat apa lagi ruang yang boleh diambil untuk maju ke hadapan,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, sasaran Malaysia untuk menjadi negara Revolusi Perindustrian Keempat (41R). menjelang 2030 tidak menjadi masalah sekiranya negara mempunyai perancangan yang baik.
Katanya, walaupun pasaran buruh didominasi tenaga kerja berkelayakan setakat SPM, namun proses penyedian untuk meningkatkan kemahiran mereka yang baik tidak akan membantutkan usaha itu.
“Kelayakan itu adalah permulaan, tetapi pada masa sama boleh dibuat upskilling dan reskilling, tetapi bagaimana kita mahu menyediakan mereka.
“Apa-apa pun kelayakan mereka, jika negara mempunyai sistem menaiktarafkan kemahiran pekerja, maka tidak ada masalah sasaran itu.
“Yang penting, perlu menyediakan pekerja dengan kemahiran tinggi selari dengan peredaran masa serta mengelakkan peluang pekerjaan mereka tidak mengucup kerana peluang pekerjaan sekarang mengutamakan pekerja kemahiran tinggi,” jelasnya. – UTUSAN






