ROME: Pemain pertahanan England, Djed Spence menyertai Inter Milan dengan yuran perpindahan dilaporkan mencecah 30 juta Euro (RM141.64 juta).
Pemain berusia 26 tahun itu menandatangani kontrak bersama Inter sehingga Jun 2031, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kariernya selepas empat musim bersama Tottenham.
Inter mengesahkan perpindahan itu menerusi satu kenyataan, menyifatkan Spence sebagai pemain yang bakal memperkuatkan jentera pertahanan Nerazzurri.
“Bek kanan England kelahiran 2000 itu menyertai Nerazzurri daripada Tottenham menerusi perpindahan tetap.
“Spence menandatangani kontrak bersama kelab sehingga 30 Jun 2031,” katanya dalam satu kenyataan rasmi kelab.
Tottenham sebelum ini mendapatkan khidmat Spence daripada Middlesbrough dengan harga sekitar 14 juta Euro (RM66.10 juta) pada Julai 2022.
Sepanjang bersama Spurs, Spence merekodkan 85 penampilan dan dua gol, selain muncul antara pertahanan paling menyerlah pasukan itu dalam musim lalu.
Persembahannya turut membantu England menamatkan kempen Piala Dunia 2026 di tempat ketiga, sekali gus meningkatkan nilai pasaran pemain berkenaan.
Perpindahan ke Inter bukan pengalaman pertama Spence di Serie A apabila dia pernah dipinjamkan ke Genoa selama enam bulan dari Januari hingga Jun 2024.
Kini, Spence kembali ke Itali secara kekal dengan misi membantu Inter mempertahankan dominasi mereka di pentas domestik selain memburu kejayaan di Eropah.-AGENSI






