TAIPING: Seorang penoreh getah tidak mengaku bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan anak perempuannya termakan ‘biskut ganja’ di rumahnya dalam kejadian minggu lalu.
Mohamad Firdaus Hassim, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim di Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai bapa dan orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun tujuh bulan didapati mendedahkan dan secara cuai membiarkan mangsa memakan biskut buatan sendiri yang mengandungi dadah jenis kanabis.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bagan Lawin, Gerik pada pukul 7.30 petang, 29 Mei 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Waffy Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Mohd. Waffy tidak menawarkan jaminan terhadap lelaki itu mengambil kira mangsa adalah anak kepada tertuduh dan tinggal bersama selain perbuatan tersebut adalah kesalahan serius.
Mahkamah menetapkan 6 Julai ini untuk tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan perubatan kanak-kanak itu dan lantikan peguam.
Media pada 30 Mei lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dikejarkan ke hospital selepas termakan biskut coklat mengandungi ganja milik bapanya.
Kanak-kanak terbabit dibawa bapanya ke Klinik Kesihatan Lawin dekat Lenggong untuk pemeriksaan selepas mengalami simptom sesak nafas, pening kepala dan loya.
Difahamkan, suspek memproses biskut tersebut untuk kegunaan sendiri dengan mencampurkan dadah miliknya sebelum disimpan di dalam bekas dan diletakkan di atas meja dapur.
Kanak-kanak itu dikatakan mengambil dan memakan biskut tersebut sebanyak empat keping sebelum mengalami sesak nafas, sakit kepala dan loya.- UTUSAN






