KOTA BHARU: Mahu tampil lebih menonjol berbanding rakan sebaya mendorong golongan muda di Kelantan sanggup berbelanja sehingga RM15,000 untuk mengubah suai motosikal secara ekstrem.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Mohd. Misuari Abdullah berkata, pengubahsuaian berlebihan itu bukan sahaja menjejaskan identiti dan spesifikasi asal motosikal, malah mendorong penunggang melakukan aksi berbahaya seperti Superman.
Katanya, motosikal Yamaha Y15 atau ‘Y suku’ paling kerap menjadi pilihan untuk diubah suai dengan kos antara RM500 hingga RM15,000.
“Aktiviti mengubah suai motosikal ini dikesan membabitkan golongan muda seawal umur 15 tahun,” katanya sempena Op Ekstrem JPJ Negeri Kelantan di Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Kelantan, di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd. Misuari berkata, JPJ Kelantan mengambil tindakan terhadap 1,100 kenderaan menerusi Op Ekstrem bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Katanya, sebanyak 2,248 notis saman dikeluarkan selain 1,016 notis lain manakala 266 kenderaan disita atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh tersebut.
“Antara kesalahan utama yang dikesan adalah 64 kes pengubahsuaian bentuk dan peralatan, sistem ekzos (187 kes), tayar dan rim (87 kes), sistem lampu (398 kes), nombor pendaftaran (947 kes) serta kesalahan lain 513 kes.
“Pesalah yang melakukan pengubahsuaian ekstrem boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, selain tindakan sitaan terhadap kenderaan,” ujarnya.
Mohd. Misuari berkata, JPJ turut mengenal pasti lebih 20 ‘lubuk’ yang menjadi tumpuan penunggang motosikal melakukan aktiviti berisiko termasuk lima lokasi di sekitar Kota Bharu.
“Aktiviti ini lazimnya dikesan berlaku ketika menghampiri subuh dengan kehadiran penunggang motosikal secara berkumpulan. Kita turut menerima banyak aduan, termasuk daripada pihak istana, berkaitan kegiatan menguji kelajuan yang dilakukan di jalan raya,” ujarnya. – UTUSAN






