BENTONG: Dua maut, 13 cedera termasuk dua parah dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah bas persiaran di Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur hala ke Timur, berdekatan Hentian Rehat Lentang di sini kira-kira pukul 7.53 pagi hari ini.
Ketua Polis Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, dua mangsa yang maut dalam kejadian tersebut dilaporkan seorang lelaki warganegara asing dan wanita tempatan yang belum dikenal pasti identitinya.
“Dua mangsa parah merupakan pemandu bas ekspres lelaki warga tempatan dan penumpang wanita juga warga tempatan.
“Seramai 11 penumpang bas persiaran berkenaan mengalami kecederaan, manakala lima lagi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Zaiham, jumlah semua penumpang bas ekspres tersebut membabitkan seramai 20 orang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuantan.
Beliau berkata, kesemua mangsa termasuk yang maut ditemukan oleh pasukan penyelamat berada dalam bas yang terbalik itu bukan tertindih di bawah kenderaan itu seperti yang tular menerusi rakaman sebuah video tentang kejadian tersebut.
“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan rawatan lanjut bagi yang mengalami cedera parah,” katanya. – UTUSAN






